Sunday, June 7, 2009

UPIN DAN IPIN - GENG



Upin dan Ipin, dua watak animasi yang kini menjadi satu fenomena Di Malaysia. Saya jatuh cinta dengan dua watak ini seawal siaran animasi Upin dan Ipin pada bulan Ramadhan 2 tahun lepas. Setiap petang, saya dan suami akan bergegas pulang dari Bazar Ramadhan semata-mata untuk tidak melepaskan siaran Upin dan Ipin!

Ketika itu anak-anak saya masih kecil untuk jatuh hati kepada siri animasi ini. Ramadhan yang lalu, saya dan suami mula mendedahkan siri animasi ini kepada anak-anak. Begitu pantas sekali mereka menyukainya lebih-lebih lagi anak perempuan pertama saya yang memang bukan kaki televisyen seperti abangnya. Upin dan Ipin satu-satunya siaran yang anak perempuan saya kenali dan minati berbanding abangnya yang sudah serasi dengan Ben 10, PHDC, dan Ultraman.

Tatkala filem animasi ini ditayangkan di pawagam, saya dan suami membawa dua anak kami, Thaqif dan Najiha menonton bersama. Terpapar sahaja watak Upin dan Ipin di layar sinema, dengan kuat anak saya Najiha, menjerit....Upin Ipin! Sungguh seronok mereka berdua. Itulah satu-satunya tayangan yang mereka tonton dengan khusyuk sekali!

Memang tidak dapat disangkal lagi, Upin dan Ipin telah mencetuskan satu fenomena luar biasa dalam dunia animasi tanah air. Pelbagai cenderamata dan barangan telah menggunakan Upin dan Ipin sebagai daya penarik utama. Taktik ini menjadi! Saya sendiri telah membelikan anak-anak saya baju-T bergambar Upin dan Ipin. Untuk saya sendiri......nada dering Upin dan Ipin pastinya!

No comments:

Post a Comment