Sunday, June 7, 2009

DILWALE DULHANIA LE JAYENGE


Filem hindi...pasti ramai yang akan mengaitkannya dengan "jiwang karat". Sebetulnya, saya bukanlah peminat filem hindi. Menonton hanya sekadar untuk hiburan, itupun jarang sangat saya habiskan 3 jam tanpa henti.

Tetapi kenapa saya meletakkan filem ini di blog saya?

Filem ini, membangkitkan memori manis saya ketika tinggal di asrama lebih sedekad yang lalu. Inilah filem hindi pertama yang saya minati. 3 kali saya menonton filem ini ketika saya di tingkatan 5, tetapi bukan 3 kali ulang...tetapi 3 kali untuk menghabiskan satu tayangan lengkap.

Saya kurang pasti, siapa yang membawa pita video filem ini ke asrama. Kali pertama saya menontonnya, sudah hampir ke penghujung cerita. Rakan-rakan semua mengatakan yang filem ini sangat menarik....Lantas saya cuba untuk menonton kali ke-2...dan kali ini saya sempat menonton dari bahagian pertengahan filem (aduh, tertinggal lagi!). Dek kerana hebatnya tarikan filem ini, kami rakan-rakan seasrama tingkatan 5, membuat satu kerja yang agak gila-gila. Kami berjaga pada jam 3 pagi dan menyusup masuk ke bilik tayangan asrama (hanya dibuka pada hari cuti hujung minggu) untuk menonton filem ini! Suara pun diperlahankan supaya rakan-rakan pengawas tidak dapat mengesan 'jenayah asrama' yang kami lakukan!

Akhirnya, saya dapat menonton filem ini dari awal hingga akhir..(sebenarnya terlelap juga di pertengahan cerita, tetapi sudah ditonton sebelum itu).

Saya kurang ingat makna tajuk filem ini, tetapi ia ada kaitan dengan perkahwinan dan pengantin. Apa yang menarik mengenai filem ini adalah heronya, Shah Rukh Khan (Raj) dan heroinnya, Kajol (Simran). Pasangan ini bagi saya, sangat serasi berlakon bersama. Filem ini adalah genre komedi romantik, di mana Raj merupakan seorang jejaka kaya yang sangat nakal dan suka menyakat perempuan. Simran antara salah seorang mangsanya (watak Raj mengingatkan saya kepada watak Ali Setan).

Dari sakat-menyakat dan usik-mengusik, akhirnya cinta berputik. Namun, dugaan melanda apabila perkahwinan Simran telah ditetapkan oleh ayahnya. Bermula dari saat itulah, pelbagai cara dilakukan oleh Raj untuk mengambil hati ayah Simran yang sangat kuat berpegang kepada adat resam. Seperti biasa, walau tujuh lautan perlu direnangi, walau tujuh gunung perlu didaki (pastinya dengan iringan lagu-lagu dan baju yang bersilih ganti), filem hindi akan berakhir dengan "they get married and live happily ever after".

Istimewanya filem terbitan Yash Chopra ini, ia menampilkan lagu-lagu yang indah dan merdu nyanyian Alka Yagnik dan Udit Narayan. Lagu-lagu seperti 'Tujhe Dekha Tho', 'Ruk Ja O Dil Deewane' dan 'Mere Khwabon Mein' adalah antara lagu yang menjadi nyanyian di bibir saya dan teman-teman di asrama ketika itu. Kenangan di Aspuri STMFP 1996 kekal di ingatan....

No comments:

Post a Comment