Sunday, June 7, 2009

FINDING NEMO


Filem animasi Finding Nemo ini merupakan filem animasi pertama yang saya tonton. Filem ini juga meninggalkan satu memori indah yang pastinya akan saya kenang ke akhir hayat saya.

Seingat saya, animasi ini ditayangkan pada tahun 2003, dalam bulan Jun. Ketika itu saya berada di Perak di kawasan yang agak jauh dari bandar besar. Hati begitu teringin untuk menonton filem animasi ini tetapi apakan daya....

Satu peristiwa telah mengheret saya ke Kuala Lumpur pada waktu itu. Entah dari mana muncul keberanian dan kekuatan, saya menaiki bas menuju Kuala Lumpur seorang diri dengan harapan satu masalah dapat dirungkai dengan baik tanpa melukakan hati mana-mana pihak (dan dengan keinginan untuk mencuri peluang menonton filem ini juga).

Kehadiran saya ke kota metropolitan ini buat kali pertama (berseorangan) disambut dengan baik oleh satu keluarga yang sungguh menarik hati saya. Hari kedua berada di KL, saya dibawa menonton filem Finding Nemo ini oleh "abang angkat" saya. Hasil dari itu, saya mendapat gelaran Darla kerana sifat suka menyakat saya (dan mungkin juga nakal...hehehhe). "Abang angkat" saya? sudah tentu dia menginginkan gelaran Nemo untuk dirinya sendiri....kononnya bijak, comel, hebat dan gigih walaupun dengan kekurangan yang ada pada diri (menonton Finding Nemo kali ke-2, baru saya perasan siripnya kecil sebelah...which makes him so special).

Saya juga dihadiahkan dengan 2 notepad box berbingkai gambar, satunya berlatarkan Nemo dan satu lagi Darla. yang berlatarkan Darla, diletakkan gambar saya dan disimpan oleh si pemberi hadiah. Manakala yang berlatarkan Nemo, diletakkan gambar si pemberi hadiah dan saya diminta untuk menyimpannya (masih ada sehingga kini...).

Finding Nemo satu kisah yang memberi inspirasi buat semua. Nilai kasih sayang antara ayah dan anak, nilai persahabatan, kesungguhan dalam mencari ilmu, dan juga kegigihan serta semangat yang mengiringi setiap usaha pasti akan membuahkan kejayaan adalah antara nilai murni yang cuba diterapkan. Kerjasama menentang sebarang penindasan juga turut diselitkan. Nemo merupakan satu contoh di mana kekurangan diri tidak boleh dijadikan alasan untuk merendah diri dan hidup sekadar berpuas hati dengan apa yang ada.

Setiap kekurangan yang Tuhan berikan kepada kita, pasti akan ada kelebihan yang diiringkan bersama. Apa yang penting, kita mesti tahu apakah kekuatan dan kelebihan kita bagi mengatasi kekurangan yang ada.

Bagi saya pula, filem ini memberi inspirasi....di sebalik setiap dugaan dan kedukaan yang Allah berikan kepada saya, pasti akan ada kebahagiaan di hujung perjalanan. Tinggal lagi, saya perlukan keberanian untuk membuat keputusan. TANPA KEBERANIAN, MIMPI TIDAK AKAN MENJADI NYATA - Soal Hati.

Alhamdulillah, saya telah menjadi seperti Nemo, berani membuat keputusan dan mengikut gerak hati saya...Masalah yang membawa saya ke KL pada waktu itu juga telah saya rungkai. Kini, saya sedang membina hari-hari bahagia bersama insan yang membawa saya ke pawagam menonton Finding Nemo; insan yang sama yang menghadiahkan saya notepad box berlatarkan Nemo + Darla. Dialah juga insan yang sama yang memperkenalkan saya dengan satu keluarga yang cukup bahagia. Dialah juga "abang angkat" saya yang kini telah bergelar ayah kepada anak-anak saya.......

FINDING NEMO tetap abadi dalam lipatan memori Khairiza a.k.a Kriza....pasti!

No comments:

Post a Comment