Sunday, August 30, 2009

1957:HATI MALAYA


Lama juga saya tidak membuat apa-apa entri di blog ini lantaran kesibukan tugas harian. Dalam kekalutan isu H1N1 sekarang ini juga, saya sudak lama tidak menjejakkan kaki ke pawagam menonton filem-filem terkini walaupun hati begitu meronta-ronta untuk menonton. Apa-apapun, kesihatan perlu diutamakan.

Semalam, selepas berbuka puasa, saya mencari-cari filem yang boleh saya tonton. Alhamdulillah, TV2 menayangkan satu filem hebat tanah air ini, 1957: Hati Malaya. Filem arahan Datuk Paduka Shuhaimi Baba ini cuba menyampaikan mesej yang bagi saya sangat berat tetapi olahan cerita yang menarik telah membuatkan saya tidak berganjak walau sesaat dari kaca tv. Lazimnya, filem berunsur fakta dan sejarah sebegini akan membuatkan khalayak penonton terasa bosan tetapi ia tidak berlaku kepada saya malam tadi walaupun dalam kepenatan seharian berpuasa. SYABAS buat Datuk Paduka Shuhaimi...karya Datuk memang hebat!

Filem ini menampilkan barisan pelakon yang hebat-hebat. Dan dari filem ini juga saya yang boleh dikatakan buta sejarah ini (saya paling tidak meminati subjek Sejarah ketika di sekolah dulu) mendapat maklumat yang bukan sedikit. Antara maklumat yang sebenarnya saya baru tahu ialah bagaimana tarikh kemerdekaan itu diperolehi. Haji Abdullah Fahim, bapa kepada Ahmad Badawi yang juga merupakan datuk kepada mantan Perdana Menteri kita yang ke-5, Tun Abdullah Ahmad Badawi yang telah memberikan tarikh tersebut.

Kata beliau, tarikh yang paling sesuai untuk Malaya merdeka ialah 31 Ogos 1957. Kalau tidak dapat tarikh tersebut, kenalah tunggu 5 tahun lagi untuk tarikh yang baik. Pesan beliau, menuntut kemerdekaan adalah untuk mendapat kebaikan, jadi haruslah didapatkan secara baik tanpa melibatkan pertumpahan darah dan menyusahkan rakyat. Pesan beliau lagi kepada pemimpin-pemimpin, kalau sudah merdeka janganlah ada yang mengambil keuntungan untuk diri sendiri. Alangkah baiknya kalau pesanan ini diambil berat oleh pemimpin-pemimpin negara pada masa sekarang, yang rata-rata mengaut kekayaan melimpah-ruah sedangkan masih ada rakyat yang hidup melarat. Atau mungkin kah pesanan itu adalah sindiran halus buat mereka?

Hati saya sangat tersentuh melihat jati diri dan semangat orang-orang melayu pada zaman tersebut. Begitu juga perpaduan yang erat antara bangsa-bangsa lain yang ada. Sedangkan sekarang ini, kalau kita lihat bangsa melayu telah mula berkiblatkan barat, bangsa-bangsa lain pula sudah mula mementingkan diri sendiri dan menuntut hak yang pada mereka kesamarataan. Sedangkan, dalam filem ini, dengan jelas ditunjukkan ketika Mesyuarat Meja Bulat antara Tunku Abdul Rahman dengan pemimpin-pemimpin lain termasuk Tun HS Lee dan Tun Tan Cheng Lock, diperakui oleh semua ahli mesyuarat yang Malaya adalah hak orang melayu.

Air mata saya menitis melihat pengorbanan rakyat pada zaman tersebut demi menuntut sebuah kemerdekaan. Rombongan Tunku ingin ke London untuk menuntut merdeka...tetapi masalah kewangan menghimpit mereka. Kata Tunku "Kita tak cukup duit...". Demi sebuah kemerdekaan, kaum wanita menanggalkan barang kemas di badan mereka sebagai sumbangan dan kaum lelaki pula menderma sebahagian wang dalam poket mereka kepada rombongan Tunku.

Begitu besar pengorbanan nenek moyang kita demi mewariskan kemerdekaan ini kepada kita....dan apakah pula sumbangan kita pada negara ini demi melestarikan keamanan dan kemakmuran negara ini untuk anak cucu kita kelak?

Air mata saya menitis lagi di penghujung filem ketika bendera Union Jack diturunkan dan bendera Tanah Melayu dinaikkan buat pertama kali. Wajah-wajah syahdu dan titisan air mata kegembiraan yang dipertontonkan begitu menyentuh perasaan.

Para pelakon dalam filem ini sangat bagus...pemilihan mereka sangat tepat dengan karakter dan watak yang mereka bawakan. Bagi yang belum pernah menonton filem ini, tontonlah. Anda tidak akan rugi. bak kata Adlin Aman Ramli di penghujung cerita...."Aku lebih patriotik sekarang" begitulah juga yang saya rasakan usai menonton filem 1957: Hati Malaya ini...

SALAM MERDEKA BUAT SEMUA! Selamat menyambut ulangtahun kemerdekaan negara ke-52...MERDEKA! MERDEKA! MERDEKA!

Friday, June 26, 2009

Transformers: Revenge Of The Fallen



Transformers: Revenge Of The Fallen…

Setelah 2 minggu bertungkus-lumus menyiapkan kerja-kerja yang berat dan sungguh memberi tekanan mental dan fizikal kepada saya, semalam (25 Jun 2009), saya pulang awal ke rumah dan membawa seisi rumah ke pawagam untuk menonton filem ini. Saya bersama suami, anak-anak saya Thaqif, Najiha dan Safiya, ibu saya dan juga pembantu saya menonton bersama-sama. Ini kali pertama anak kecil saya ikut serta bersama pembantu saya.

Semalam adalah Family Outing bagi saya….sudah sekian lama tidak bersantai bersama lantaran tuntutan kerja yang sangat meyesakkan nafas. Anak sulung saya, Thaqif begitu teruja melihat sedutan filem ini kerana banyak robot (sebutannya….modobot). Tetapi, selepas 5 minit tayangan, dia tertidur kepenatan…hehehe.

Ulasan saya, Transformers: Revenge Of The Fallen ini merupakan satu filem yang hebat dengan kesan bunyi dan juga aksi-aksi pertarungan antara robot. Saya bukan peminat Transformers sebenarnya, dan saya TIDAK PERNAH menonton siri animasi Transformers ini ketika zaman kanak-kanak saya. Siri ini telah ada sejak usia saya belum mencapai 10 tahun. Begitu lama Transformers ini telah ada dalam industri. Transformers yang pertama juga tidak saya tonton. Transformers: Revenge Of The Fallen ini lah yang pertama saya ikuti dengan serius.

Sebagai orang yang baru pertama kali menonton siri Transformers, saya memberi pujian kepada filem ini sebab begitu unik. Saya seronok melihat transformasi sebuah kereta kepada sebuah robot berkuasa dan dari sebuah robot berkuasa yang Nampak “keras” secara fizikalnya, di transformasikan kepada sebuah kehidupan yang mempunyai emosi seperti manusia! Saya jatuh hati kali pertama dengan Transformers. Usai menonton, saya ke KFC dan membeli 4 mainan Transformers untuk anak saya dan juga Variey Bucket yang mendapat hadiah percuma Chill Pack Transformers.

Filem Transformers: Revenge Of The Fallen mengisahkan peperangan antara Decepticons yang diketuai oleh The Fallen dengan manusia untuk menakluki planet Bumi. Tetapi, manusia pula mendapat sokongan dari Autobots yang diketuai Optimus Prime yang juga merupakan saudara kepada The Fallen. Puak Decepticons amat memusuhi manusia manakala Autobots lebih memihak kepada manusia. Tetapi, memang realiti hidup....walau bagaimana baik dan banyak sekalipun jasa kita kepada sesuatu pihak, pasti akan ada yang cuba mempertikaikan keikhlasan kita...itulah juga yang berlaku kepada Optimus Prime dan rakan-rakannya apabila Galloway beranggapan bahawa Prime sengaja terus berada di bumi untuk memancing serangan pihak Decepticons ke atas Bumi.

Sam dan Mikaela adalah sepasang kekasih yang mempunyai kelebihan tersendiri. Sam diminta oleh Optimus Prime untuk membantu mereka memerangi Decepticons tetapi Sam menolak. Namun, akhirnya Sam menyedari yang dia memang dipilih dan ditakdirkan untuk membantu Optimus Prime dan penduduk Bumi dari terus diserang dan dimusnahkan oleh Decepticons....itupun hanya setelah Optimus Prime "mati".
Dipendekkan cerita, Optimus Prime dapat dihidupkan kembali dengan bantuan daripada Jetlife, otai Decepticons yang telah memihak kepada Autobots. Saya tertarik dengan ayat Jetlife....
"Aku tidak mahu berterusan hidup dalam kebencian dan memusuhi orang"
Entah kenapa, saya teringat kepada situasi politik negara yang makin teruk, benci-membenci sesama rakyat....which makes me very upset and worrying me about the future life of my kids.
Dalam pertempuran antara Autobots dan Decepticons, yang sudah pastinya dibantu oleh pasukan tentera USA (kononnya pasukan tentera USA ini bertanggungjawab terhadap keamanan dunia....hurm), Optimus Prime sekali lagi parah. Jetlife pula, berkorban demi sebuah perjuangan kerana baginya, dia tidak pernah berbuay sesuatu yang berfaedah sepanjang hayatnya...so, that is the time for him to do something valuable untuk orang lain. Jetlife korbankan sumber tenaga hayatnya dan juga mendermakan bahagian anggota badannya kepada Optimus Prime (macam derma organ ler pulak)....katanya, cantuman tersebut akan menghasilkan kekuatan yang tidak pernah sesiapa jangkakan.
Sekali lagi....terimbas saya kepada senario politik semasa...Gabungan yang akan membentuk satu kekuatan yang luar biasa...Mungkin kah akan terjadi sebegini juga sekiranya PAS dan UMNO bergabung pada masa depan? Gabungan yang akan membentuk satu kesatuan yang kukuh dan kuat bagi melindungi dan memperjuangkan sesuatu yang semakin "kita" hilang kini.......Mungkinkah?
InsyaAllah......Kau permudahkan lah segala-galanya Ya Allah....

Tuesday, June 16, 2009

BRAINSCAN - AKU DAN TOPI AJAIB



Filem Brainscan ini saya tonton secara kebetulan di Astro semalam. Bukan tak ingin menyokong filem melayu dengan menontonnya di pawagam tetapi saya sendiri tidak perasan sebenarnya bila filem ini ditayangkan.

Antara pelakon utama filem ini adalah anak murid saya, Eric Fuzi dan juga bekas junior saya di SMSTFP, Nik Sayyidah Fatiha. Dari kaca mata saya, filem ini sangat menarik hati dengan komedi dan lawak jenaka yang dilakonkan oleh Nik Sayyidah Fatiha (lebih sy kenali dgn nama Are), Adruce, Eric dan juga Zul Yahya. Saya ketawa besar menonton babak Yati (Nik Sayyidah Fatiha) membebel di pagi hari kepada anak dan suaminya.....dengan bebelannya dalam loghat Kelantan pekat (Kelantanese pasti faham dan gelak tergolek-golek) berselang dengan Mak Yong nya (secara peribadi, saya memang mengenali Nik Sayyidah Fatiha ini ada kaitan dengan Primadona Mak Yong), Zul Yahya pula dengan watak garangnya......aduh...sungguh mencuit hati! Bebelan Yati mengingatkan saya kepada amukan ibu saya ketika melayan karenah kedegilan dan kenakalan saya kecil-kecil dahulu...lebih kurang macam tulah saya kena marah dulu!

"amboi....budok ni...i labi u, u labi air buke maing lagi, bangun bangun bangun along, gi skoloh !tgohari ccecey doh ni"

"apo bising2 pagi buto ni mok?"

"pagi? pagi koghok mung! hei matohaghi doh dok ccace tegok.. atah langit tu pagi? bangun...doh tengoh haghi doh ni...gi skoloh, maghoh ccekgu. aye bapok hok tuo skali pung doh bangun doh haih along weh , mung jah hok tok bangun lagi nyo....cepat bangun bangun...tengoh haghi doh.

Ni lak...gaya Mak Yong....

"bangun bangun bangun anakku bangun. Ehhh...gi skoloh baik pado tidoooo... anok weii...ei...ei..eiii..."

Berulang-ulang kali saya tonton bahagian ini di Youtube.....ada saya letakkan di laman tepi blog saya ini...

Filem ini bagi saya, tidak lebih sekadar filem santai bersama keluarga. Untuk meringankan kepala yang sendat dengan masalah kerja dan masalah hidup...Lakonan mantap oleh Nik Sayyidah Fatiha dengan lawak yang bersahaja dan semulajadi, menghidupkan filem ini. Lakonan anak murid saya, Eric Fuzi juga semakin dewasa seiring dengan usia (Eric ni pelakon, tetapi jarang benar dia berlakon di sekolah...ermmm). Zul Yahya juga tidak kurang hebatnya.

Andai kepala tengah pening, layan lah filem ini, pasti anda tidak kering gusi....hehehhe

Saturday, June 13, 2009

WARIS JARI HANTU - DI ASTRO CITRA


Seperti yang telah saya nyatakan dalam post saya sebelum ini, yang saya tidak pernah jemu menonton filem WARIS JARI HANTU ini biar berapa kalipun ia ditayangkan di kaca televisyen. Entah mengapa, saya begitu jatuh cinta dengan film ini.

Kali ini saya menyelami filem WARIS JARI HANTU ini dari sudut KONFLIK. Konflik yang wujud dalam diri hampir semua watak utamanya...

Konflik Ari
Konflik dalam diri Ari telah bermula dari dia kecil...Dia berjiwa penuh kewanitaan....suka memasak, suka menjahit, berhias dan sering merasakan dirinya adalah seorang wanita asli! Keluar dari rumah akan berselendang...Payung juga tidak ditinggalkan (saya sendiri tak sebegini...jarang sekali berpayung kecuali hujan!). Tetapi, pakaiannya masih seorang lelaki. Keluarga Ari seboleh mungkin ingin dia menjadi lelaki sejati.....

Ari sangat rapat dengan sepupunya, Tina. Bahkan, persahabatan dan persaudaraan itu telah bertukar menjadi cinta....tetapi Ari tetap dalam konflik...Mencintai Tina tetapi mustahil mengahwini Tina lantaran dalam dirinya ada naluri kewanitaan.

Apabila keluar dari kampung, Ari telah memilih untuk menukar jantinanya di Singapura. segalanya dirahsiakan dari keluarga....termasuk Tina yang setia menunggunya.

Sekembalinya dari Singapura dan pertemuan semula Ari (yang telah menjadi Arina) dan Tina, telah menghancurkan hati Ari. Hati Ari hancur apabila Tina yang diharapkan untuk menyokong perubahan dirinya telah tidak dapat menerima kenyataan yang dia bukan lagi ARI tetapi ARINA.

Skrip Ari sangat menyentuh hati saya! "Tina adalah orang yang paling penting dalam hidup Ari...yang Ari harapkan akan menyokong Ari. Tetapi, Ari tak sangka...Tina sama saja dengan mereka semua!" Betapa selama ini, Ari telah banyak berkecil hati dengan hinaan dan pelbagai gelaran yang masyarakat berikan kepadanya lantaran keadaan dirinya tetapi Tina sebagai penguat semangatnya.

Kepulangan Ari ke kampung mendedahkan Ari sebenarnya dilahirkan sebagai khunsa...mempunyai dua alat kelamin. sewajarnya telah lama Ari di"perempuankan" tetapi keegoan seorang bapa telah memerangkap Arina dalam diri Ari. Ari bukanlah manusia yang memilih menjalani hidup songsang, tetapi dia adalah kejadian Tuhan yang unik.

Ari berkorban...demi Tina yang sangat dia sayangi. Ari menerima warisan dari Tok Wan....kerana warisan Tok Wan hanya boleh diwariskan kepada seorang perempuan!

Konflik Tina
Tina terlalu mencintai Ari....begitu setia dengan Ari dari kecil sehingga dewasa. Meskipun ada godaan dari lelaki lain, tetapi Ari tetap di hari Tina.

Sehinggalah Ari menjadi Arina.....hati Tina hancur! "Dengan siapa harus Tina kahwin sekarang?"

Namun, setelah menyedari kesilapan diri, Tina kembali mencari Ari. Kasih sayangnya pada Ari terlalu tulus...sebati dalam jiwa. Saya begitu mengagumi ikatan kasih sayang antara dua watak utama ini. Tina membawa Ari pulang ke kampung dan cuba meyakinkan Kak Kasma untuk menerima Ari sebagai Arina. Tetapi...ia bukan mudah!

Kepulangan Tina ke kampung telah menyebabkan Tok Wan ingin menyerahkan warisannya kepada Tina kerana Tina adalah cucu perempuan. Tetapi Tina begitu takut....sedangkan Tok Wan sudah semakin tua.....Mengikut cerita orang-orang lama...selagi warisan tidak diberikan kepada waris terpilih, selagi itulah pengamalnya sukar untuk mati. Itulah juga yang terjadi kepada Tok Wan.

Sehinggalah warisan itu diterima oleh Ari yang menggantikan Tina.....

Konflik Tok Wan
Saka Harimau yang diamalkan Tok Wan untuk menjaga kampung dan juga kaum keluarganya perlu diserahkan kepada warisnya. Ini kerana Tok Wan sudah uzur, dan sekiranya saka itu tidak dipindah milik, roh Tok Wan tidak akan dapat meninggalkan jasadnya.

Tok Wan memilih untuk menyerahkan saka harimau itu kepada Tina kerana Tina adalah cucu perempuan. Walaupun dia tahu Ari lebih sesuai..tetapi ketika itu Ari adalah lelaki! Kata Tok Wan, ia hanya boleh diwariskan kepada perempuan, kerana perempuan tinggal diam di kampung menjaga keluarga, sedangkan lelaki akan keluar berdagang, merantau mencari rezeki.

Setelah Ari menjadi Arina....dan menerima waris tersebut....dalam bentuk cincin bertatahkan permata kuning dipakai di jari tengah (sebab itu dinamakan WARIS JARI HANTU), Tok Wan semakin uzur. Ritual mistik ditonjolkan dalam filem ini (pertama kali saya lihat), di mana Tok Wan dibaringkan di tengah-tengah ruang rumah bersetentang dengan alang utama rumah. Di saat-saat akhir hidupnya, bumbung rumah dibuka...katanya itulah caranya bagi memudahkan pengamal saka "pergi". Wallahua'lam....

Filem yang sangat menarik...saya akan menunggu lagi filem ini ditayangkan di kaca televisyen. Aha, tertarik pula dengan cincin bertatahkan permata kuning tu. Di mana boleh saya dapat ye? cincin saja tau....tak nak lah yang ada harimau ke, kucing ke, naga ke kat dalam tu.....hehehhe

Wednesday, June 10, 2009

NIGHT AT THE MUSEUM - BATTLE OF THE SMITHSONIAN



Petang tadi, saya berkesempatan menonton filem Night At The Museum 2 ini bersama suami, anak-anak dan juga seorang teman forum, Cyberkids. Sepatutnya seorang lagi teman turut serta, Procodine; tetapi ada hal mustahak untuk diselesaikan...

Saya tak pernah menonton sekuel filem ini yang pertama dengan lengkap, sekadar menjeling-jeling kaca televisyen ketika suami menonton DVD. Justeru, ketika memilih untuk menonton sekuel yang kedua ini, saya mata berharap yang ianya tidak banyak berkait dengan sekuel awal. Boleh LOST lagi sekali saya.....

Agaknya nasib saya cukup baik....walaupun tidak menonton sekuel yang pertama tetapi saya boleh mengikuti filem ini dengan baik. Saya faham jalan ceritanya! Filem ini walaupun digarap dalam bentuk komedi santai, tetapi sebenarnya ia banyak memberi maklumat berkaitan sejarah silam. Fakta sejarah disampaikan dalam bentuk yang cukup ringkas, menarik dan tidak membosankan. Terfikir juga saya, jika Kementerian Pelajaran Malaysia mengaplikasikan lakonan sebegini dalam pengajaran subjek Sejarah di sekolah, pasti murid-murid kita akan lebih berminat dalam subjek tersebut dan lebih menghargai sejarah! Terkenang pula saya pada zaman persekolahan.....selalu tertidur ketika kelas Sejarah sedang berjalan.....kalaulah filem ini mempunyai fakta-fakta sejarah untuk SPM, pasti saya sudah lulus dengan cemerlang!

Muzium...satu bangunan yang bagi saya agak mistik suasananya...suram, penuh misteri, sunyi dan kalaulah saya ditinggalkan di muzium pada waktu malam seorang diri...boleh demam seminggu agaknya! Tetapi, dalam filem ini, muzium digambarkan sebagai satu tempat yang menjadi tumpuan ramai....dengan susun atur bahan pameran yang kreatif dan suasana muzium yang ceria....tiba-tiba terasa ingin melawat muzium tersebut.....

Watak-watak bahan pameran yang menjelma hidup pada waktu malam hingga subuh sebenarnya merupakan imaginasi yang ada dalam minda kebanyakan kanak-kanak menjadikan filem ini sesuai ditonton oleh semua peringkat usia (tetapi, anak perempuan saya tertidur...kepenatan barangkali kerana berlari-larian di KFC sebelum itu). Peperangan antara dua puak yang satunya diketuai oleh Firaun Kahmunrah sungguh menarik dan mencuit hati. Ketika perang sedang rancak, muncul hero penyelamat.....Abraham Lincoln (well, lihatlah pula, ia filem dari mana....).

Keseluruhannya, saya suka filem ini kerana banyak kostum yang menarik, watak-watak yang pelbagai (memang jenis filem yang saya suka) dan paling menarik.....fakta sejarahnya disampaikan dalam bentuk cukup santai sehingga melekat dalam minda penonton (saya terutamanya).

Napoleon Bonaparte yang pendek, The Honest Abraham Lincoln (kerana suka cakap terus-terang), piramid sempurna kerana nilai pi, juruterbang wanita pertama yang menyeberangi lautan Atlantik adalah Amelia Eakhart, monyet pertama ke angkasa lepas dinamakan Abe (mungkin sempena nama timangan Abraham Lincoln), Albert Einstein yang mempunyai tabiat mengangguk-anggukan kepalanya (benarkah?) adalah antara fakta yang menarik yang saya baru ketahui hari ini!

Antara kata-kata yang menarik dalam filem ini....
  • Negara yang berpecah tidak akan berkeadaan baik (Abraham Lincoln)
  • Kunci kepada kegembiraan ialah melakukan apa yang kita suka bersama dengan orang yang kita suka (Larry Daley)



Monday, June 8, 2009

CINTA - 5 CINTA DALAM SATU CERITA


Filem CINTA ini merupakan filem melayu pertama yang saya tonton bersama suami di PAWAGAM! Itupun setelah berhari-hari memujuk dan membodek....ahaks!

Suami saya memang bukan peminat filem melayu. Dia lebih meminati filem aksi. Mengajaknya ke pawagan untuk menonton filem melayu, apatah lagi filem cinta sebegini memang memerlukan aalasan yang munasabah. Saya begitu bersungguh-sungguh ingin menonton filem ini, kerana tertarik dengan promo di kaca televisyen dan komen-komen memberangsangkan di dada-dada akhbar hiburan. Demikian positif juga komen yang diberikan oleh teman-teman yang telah menonton filem ini.

Filem CINTA menggarapkan 5 kisah percintaan yang berbeza. Dari ketulusan cinta antara adik dan kakak, suami dan isteri, sehinggalah kepada kisah cinta antara dua insan yang baru saling mengenali di usia senja. Cuma, entah kenapa...saya rasa begitu terkilan dengan kisah percintaan antara Harris dan Airin. Cinta Harris terhadap Airin begitu menebal sehingga membina sebuah mahligai yang diimpikan bersama, tetapi sayangnya tidak sempat dihuni bersama lantaran kasih Airin yang telah beralih arah. Saya seakan tidak dapat menerima hakikat, cinta seorang isteri boleh pudar tanpa disedari.....dan beralih kepada lelaki lain. Harris bukanlah lelaki yang tidak sempurna sebagai suami....cuma mungkin silapnya dia...terlalu fokus dengan kerja sehingga lupa memperbaharui cinta dengan Airin. Atau mungkinkah impian dan keinginan Airin yang terlalu tinggi?

Saya menonton filem ini dengan pelbagai perasaan yang berbaur.....kagum, sayu, syahdu, dan jauh di sudut hati....saya mendoakan agar cinta saya dan suami tidak akan menjadi seperti cinta Harris dan Airin....Biarlah di hujung usia...cinta kami masih sarat...

Filem Cinta adalah filem terbaik bagi saya....filem yang santai dan membuai perasaan! Keluar sahaja pawagam, terasa cinta untuk suami semakin bertambah!

Sunday, June 7, 2009

FINDING NEMO


Filem animasi Finding Nemo ini merupakan filem animasi pertama yang saya tonton. Filem ini juga meninggalkan satu memori indah yang pastinya akan saya kenang ke akhir hayat saya.

Seingat saya, animasi ini ditayangkan pada tahun 2003, dalam bulan Jun. Ketika itu saya berada di Perak di kawasan yang agak jauh dari bandar besar. Hati begitu teringin untuk menonton filem animasi ini tetapi apakan daya....

Satu peristiwa telah mengheret saya ke Kuala Lumpur pada waktu itu. Entah dari mana muncul keberanian dan kekuatan, saya menaiki bas menuju Kuala Lumpur seorang diri dengan harapan satu masalah dapat dirungkai dengan baik tanpa melukakan hati mana-mana pihak (dan dengan keinginan untuk mencuri peluang menonton filem ini juga).

Kehadiran saya ke kota metropolitan ini buat kali pertama (berseorangan) disambut dengan baik oleh satu keluarga yang sungguh menarik hati saya. Hari kedua berada di KL, saya dibawa menonton filem Finding Nemo ini oleh "abang angkat" saya. Hasil dari itu, saya mendapat gelaran Darla kerana sifat suka menyakat saya (dan mungkin juga nakal...hehehhe). "Abang angkat" saya? sudah tentu dia menginginkan gelaran Nemo untuk dirinya sendiri....kononnya bijak, comel, hebat dan gigih walaupun dengan kekurangan yang ada pada diri (menonton Finding Nemo kali ke-2, baru saya perasan siripnya kecil sebelah...which makes him so special).

Saya juga dihadiahkan dengan 2 notepad box berbingkai gambar, satunya berlatarkan Nemo dan satu lagi Darla. yang berlatarkan Darla, diletakkan gambar saya dan disimpan oleh si pemberi hadiah. Manakala yang berlatarkan Nemo, diletakkan gambar si pemberi hadiah dan saya diminta untuk menyimpannya (masih ada sehingga kini...).

Finding Nemo satu kisah yang memberi inspirasi buat semua. Nilai kasih sayang antara ayah dan anak, nilai persahabatan, kesungguhan dalam mencari ilmu, dan juga kegigihan serta semangat yang mengiringi setiap usaha pasti akan membuahkan kejayaan adalah antara nilai murni yang cuba diterapkan. Kerjasama menentang sebarang penindasan juga turut diselitkan. Nemo merupakan satu contoh di mana kekurangan diri tidak boleh dijadikan alasan untuk merendah diri dan hidup sekadar berpuas hati dengan apa yang ada.

Setiap kekurangan yang Tuhan berikan kepada kita, pasti akan ada kelebihan yang diiringkan bersama. Apa yang penting, kita mesti tahu apakah kekuatan dan kelebihan kita bagi mengatasi kekurangan yang ada.

Bagi saya pula, filem ini memberi inspirasi....di sebalik setiap dugaan dan kedukaan yang Allah berikan kepada saya, pasti akan ada kebahagiaan di hujung perjalanan. Tinggal lagi, saya perlukan keberanian untuk membuat keputusan. TANPA KEBERANIAN, MIMPI TIDAK AKAN MENJADI NYATA - Soal Hati.

Alhamdulillah, saya telah menjadi seperti Nemo, berani membuat keputusan dan mengikut gerak hati saya...Masalah yang membawa saya ke KL pada waktu itu juga telah saya rungkai. Kini, saya sedang membina hari-hari bahagia bersama insan yang membawa saya ke pawagam menonton Finding Nemo; insan yang sama yang menghadiahkan saya notepad box berlatarkan Nemo + Darla. Dialah juga insan yang sama yang memperkenalkan saya dengan satu keluarga yang cukup bahagia. Dialah juga "abang angkat" saya yang kini telah bergelar ayah kepada anak-anak saya.......

FINDING NEMO tetap abadi dalam lipatan memori Khairiza a.k.a Kriza....pasti!