Friday, June 26, 2009

Transformers: Revenge Of The Fallen



Transformers: Revenge Of The Fallen…

Setelah 2 minggu bertungkus-lumus menyiapkan kerja-kerja yang berat dan sungguh memberi tekanan mental dan fizikal kepada saya, semalam (25 Jun 2009), saya pulang awal ke rumah dan membawa seisi rumah ke pawagam untuk menonton filem ini. Saya bersama suami, anak-anak saya Thaqif, Najiha dan Safiya, ibu saya dan juga pembantu saya menonton bersama-sama. Ini kali pertama anak kecil saya ikut serta bersama pembantu saya.

Semalam adalah Family Outing bagi saya….sudah sekian lama tidak bersantai bersama lantaran tuntutan kerja yang sangat meyesakkan nafas. Anak sulung saya, Thaqif begitu teruja melihat sedutan filem ini kerana banyak robot (sebutannya….modobot). Tetapi, selepas 5 minit tayangan, dia tertidur kepenatan…hehehe.

Ulasan saya, Transformers: Revenge Of The Fallen ini merupakan satu filem yang hebat dengan kesan bunyi dan juga aksi-aksi pertarungan antara robot. Saya bukan peminat Transformers sebenarnya, dan saya TIDAK PERNAH menonton siri animasi Transformers ini ketika zaman kanak-kanak saya. Siri ini telah ada sejak usia saya belum mencapai 10 tahun. Begitu lama Transformers ini telah ada dalam industri. Transformers yang pertama juga tidak saya tonton. Transformers: Revenge Of The Fallen ini lah yang pertama saya ikuti dengan serius.

Sebagai orang yang baru pertama kali menonton siri Transformers, saya memberi pujian kepada filem ini sebab begitu unik. Saya seronok melihat transformasi sebuah kereta kepada sebuah robot berkuasa dan dari sebuah robot berkuasa yang Nampak “keras” secara fizikalnya, di transformasikan kepada sebuah kehidupan yang mempunyai emosi seperti manusia! Saya jatuh hati kali pertama dengan Transformers. Usai menonton, saya ke KFC dan membeli 4 mainan Transformers untuk anak saya dan juga Variey Bucket yang mendapat hadiah percuma Chill Pack Transformers.

Filem Transformers: Revenge Of The Fallen mengisahkan peperangan antara Decepticons yang diketuai oleh The Fallen dengan manusia untuk menakluki planet Bumi. Tetapi, manusia pula mendapat sokongan dari Autobots yang diketuai Optimus Prime yang juga merupakan saudara kepada The Fallen. Puak Decepticons amat memusuhi manusia manakala Autobots lebih memihak kepada manusia. Tetapi, memang realiti hidup....walau bagaimana baik dan banyak sekalipun jasa kita kepada sesuatu pihak, pasti akan ada yang cuba mempertikaikan keikhlasan kita...itulah juga yang berlaku kepada Optimus Prime dan rakan-rakannya apabila Galloway beranggapan bahawa Prime sengaja terus berada di bumi untuk memancing serangan pihak Decepticons ke atas Bumi.

Sam dan Mikaela adalah sepasang kekasih yang mempunyai kelebihan tersendiri. Sam diminta oleh Optimus Prime untuk membantu mereka memerangi Decepticons tetapi Sam menolak. Namun, akhirnya Sam menyedari yang dia memang dipilih dan ditakdirkan untuk membantu Optimus Prime dan penduduk Bumi dari terus diserang dan dimusnahkan oleh Decepticons....itupun hanya setelah Optimus Prime "mati".
Dipendekkan cerita, Optimus Prime dapat dihidupkan kembali dengan bantuan daripada Jetlife, otai Decepticons yang telah memihak kepada Autobots. Saya tertarik dengan ayat Jetlife....
"Aku tidak mahu berterusan hidup dalam kebencian dan memusuhi orang"
Entah kenapa, saya teringat kepada situasi politik negara yang makin teruk, benci-membenci sesama rakyat....which makes me very upset and worrying me about the future life of my kids.
Dalam pertempuran antara Autobots dan Decepticons, yang sudah pastinya dibantu oleh pasukan tentera USA (kononnya pasukan tentera USA ini bertanggungjawab terhadap keamanan dunia....hurm), Optimus Prime sekali lagi parah. Jetlife pula, berkorban demi sebuah perjuangan kerana baginya, dia tidak pernah berbuay sesuatu yang berfaedah sepanjang hayatnya...so, that is the time for him to do something valuable untuk orang lain. Jetlife korbankan sumber tenaga hayatnya dan juga mendermakan bahagian anggota badannya kepada Optimus Prime (macam derma organ ler pulak)....katanya, cantuman tersebut akan menghasilkan kekuatan yang tidak pernah sesiapa jangkakan.
Sekali lagi....terimbas saya kepada senario politik semasa...Gabungan yang akan membentuk satu kekuatan yang luar biasa...Mungkin kah akan terjadi sebegini juga sekiranya PAS dan UMNO bergabung pada masa depan? Gabungan yang akan membentuk satu kesatuan yang kukuh dan kuat bagi melindungi dan memperjuangkan sesuatu yang semakin "kita" hilang kini.......Mungkinkah?
InsyaAllah......Kau permudahkan lah segala-galanya Ya Allah....

Tuesday, June 16, 2009

BRAINSCAN - AKU DAN TOPI AJAIB



Filem Brainscan ini saya tonton secara kebetulan di Astro semalam. Bukan tak ingin menyokong filem melayu dengan menontonnya di pawagam tetapi saya sendiri tidak perasan sebenarnya bila filem ini ditayangkan.

Antara pelakon utama filem ini adalah anak murid saya, Eric Fuzi dan juga bekas junior saya di SMSTFP, Nik Sayyidah Fatiha. Dari kaca mata saya, filem ini sangat menarik hati dengan komedi dan lawak jenaka yang dilakonkan oleh Nik Sayyidah Fatiha (lebih sy kenali dgn nama Are), Adruce, Eric dan juga Zul Yahya. Saya ketawa besar menonton babak Yati (Nik Sayyidah Fatiha) membebel di pagi hari kepada anak dan suaminya.....dengan bebelannya dalam loghat Kelantan pekat (Kelantanese pasti faham dan gelak tergolek-golek) berselang dengan Mak Yong nya (secara peribadi, saya memang mengenali Nik Sayyidah Fatiha ini ada kaitan dengan Primadona Mak Yong), Zul Yahya pula dengan watak garangnya......aduh...sungguh mencuit hati! Bebelan Yati mengingatkan saya kepada amukan ibu saya ketika melayan karenah kedegilan dan kenakalan saya kecil-kecil dahulu...lebih kurang macam tulah saya kena marah dulu!

"amboi....budok ni...i labi u, u labi air buke maing lagi, bangun bangun bangun along, gi skoloh !tgohari ccecey doh ni"

"apo bising2 pagi buto ni mok?"

"pagi? pagi koghok mung! hei matohaghi doh dok ccace tegok.. atah langit tu pagi? bangun...doh tengoh haghi doh ni...gi skoloh, maghoh ccekgu. aye bapok hok tuo skali pung doh bangun doh haih along weh , mung jah hok tok bangun lagi nyo....cepat bangun bangun...tengoh haghi doh.

Ni lak...gaya Mak Yong....

"bangun bangun bangun anakku bangun. Ehhh...gi skoloh baik pado tidoooo... anok weii...ei...ei..eiii..."

Berulang-ulang kali saya tonton bahagian ini di Youtube.....ada saya letakkan di laman tepi blog saya ini...

Filem ini bagi saya, tidak lebih sekadar filem santai bersama keluarga. Untuk meringankan kepala yang sendat dengan masalah kerja dan masalah hidup...Lakonan mantap oleh Nik Sayyidah Fatiha dengan lawak yang bersahaja dan semulajadi, menghidupkan filem ini. Lakonan anak murid saya, Eric Fuzi juga semakin dewasa seiring dengan usia (Eric ni pelakon, tetapi jarang benar dia berlakon di sekolah...ermmm). Zul Yahya juga tidak kurang hebatnya.

Andai kepala tengah pening, layan lah filem ini, pasti anda tidak kering gusi....hehehhe

Saturday, June 13, 2009

WARIS JARI HANTU - DI ASTRO CITRA


Seperti yang telah saya nyatakan dalam post saya sebelum ini, yang saya tidak pernah jemu menonton filem WARIS JARI HANTU ini biar berapa kalipun ia ditayangkan di kaca televisyen. Entah mengapa, saya begitu jatuh cinta dengan film ini.

Kali ini saya menyelami filem WARIS JARI HANTU ini dari sudut KONFLIK. Konflik yang wujud dalam diri hampir semua watak utamanya...

Konflik Ari
Konflik dalam diri Ari telah bermula dari dia kecil...Dia berjiwa penuh kewanitaan....suka memasak, suka menjahit, berhias dan sering merasakan dirinya adalah seorang wanita asli! Keluar dari rumah akan berselendang...Payung juga tidak ditinggalkan (saya sendiri tak sebegini...jarang sekali berpayung kecuali hujan!). Tetapi, pakaiannya masih seorang lelaki. Keluarga Ari seboleh mungkin ingin dia menjadi lelaki sejati.....

Ari sangat rapat dengan sepupunya, Tina. Bahkan, persahabatan dan persaudaraan itu telah bertukar menjadi cinta....tetapi Ari tetap dalam konflik...Mencintai Tina tetapi mustahil mengahwini Tina lantaran dalam dirinya ada naluri kewanitaan.

Apabila keluar dari kampung, Ari telah memilih untuk menukar jantinanya di Singapura. segalanya dirahsiakan dari keluarga....termasuk Tina yang setia menunggunya.

Sekembalinya dari Singapura dan pertemuan semula Ari (yang telah menjadi Arina) dan Tina, telah menghancurkan hati Ari. Hati Ari hancur apabila Tina yang diharapkan untuk menyokong perubahan dirinya telah tidak dapat menerima kenyataan yang dia bukan lagi ARI tetapi ARINA.

Skrip Ari sangat menyentuh hati saya! "Tina adalah orang yang paling penting dalam hidup Ari...yang Ari harapkan akan menyokong Ari. Tetapi, Ari tak sangka...Tina sama saja dengan mereka semua!" Betapa selama ini, Ari telah banyak berkecil hati dengan hinaan dan pelbagai gelaran yang masyarakat berikan kepadanya lantaran keadaan dirinya tetapi Tina sebagai penguat semangatnya.

Kepulangan Ari ke kampung mendedahkan Ari sebenarnya dilahirkan sebagai khunsa...mempunyai dua alat kelamin. sewajarnya telah lama Ari di"perempuankan" tetapi keegoan seorang bapa telah memerangkap Arina dalam diri Ari. Ari bukanlah manusia yang memilih menjalani hidup songsang, tetapi dia adalah kejadian Tuhan yang unik.

Ari berkorban...demi Tina yang sangat dia sayangi. Ari menerima warisan dari Tok Wan....kerana warisan Tok Wan hanya boleh diwariskan kepada seorang perempuan!

Konflik Tina
Tina terlalu mencintai Ari....begitu setia dengan Ari dari kecil sehingga dewasa. Meskipun ada godaan dari lelaki lain, tetapi Ari tetap di hari Tina.

Sehinggalah Ari menjadi Arina.....hati Tina hancur! "Dengan siapa harus Tina kahwin sekarang?"

Namun, setelah menyedari kesilapan diri, Tina kembali mencari Ari. Kasih sayangnya pada Ari terlalu tulus...sebati dalam jiwa. Saya begitu mengagumi ikatan kasih sayang antara dua watak utama ini. Tina membawa Ari pulang ke kampung dan cuba meyakinkan Kak Kasma untuk menerima Ari sebagai Arina. Tetapi...ia bukan mudah!

Kepulangan Tina ke kampung telah menyebabkan Tok Wan ingin menyerahkan warisannya kepada Tina kerana Tina adalah cucu perempuan. Tetapi Tina begitu takut....sedangkan Tok Wan sudah semakin tua.....Mengikut cerita orang-orang lama...selagi warisan tidak diberikan kepada waris terpilih, selagi itulah pengamalnya sukar untuk mati. Itulah juga yang terjadi kepada Tok Wan.

Sehinggalah warisan itu diterima oleh Ari yang menggantikan Tina.....

Konflik Tok Wan
Saka Harimau yang diamalkan Tok Wan untuk menjaga kampung dan juga kaum keluarganya perlu diserahkan kepada warisnya. Ini kerana Tok Wan sudah uzur, dan sekiranya saka itu tidak dipindah milik, roh Tok Wan tidak akan dapat meninggalkan jasadnya.

Tok Wan memilih untuk menyerahkan saka harimau itu kepada Tina kerana Tina adalah cucu perempuan. Walaupun dia tahu Ari lebih sesuai..tetapi ketika itu Ari adalah lelaki! Kata Tok Wan, ia hanya boleh diwariskan kepada perempuan, kerana perempuan tinggal diam di kampung menjaga keluarga, sedangkan lelaki akan keluar berdagang, merantau mencari rezeki.

Setelah Ari menjadi Arina....dan menerima waris tersebut....dalam bentuk cincin bertatahkan permata kuning dipakai di jari tengah (sebab itu dinamakan WARIS JARI HANTU), Tok Wan semakin uzur. Ritual mistik ditonjolkan dalam filem ini (pertama kali saya lihat), di mana Tok Wan dibaringkan di tengah-tengah ruang rumah bersetentang dengan alang utama rumah. Di saat-saat akhir hidupnya, bumbung rumah dibuka...katanya itulah caranya bagi memudahkan pengamal saka "pergi". Wallahua'lam....

Filem yang sangat menarik...saya akan menunggu lagi filem ini ditayangkan di kaca televisyen. Aha, tertarik pula dengan cincin bertatahkan permata kuning tu. Di mana boleh saya dapat ye? cincin saja tau....tak nak lah yang ada harimau ke, kucing ke, naga ke kat dalam tu.....hehehhe

Wednesday, June 10, 2009

NIGHT AT THE MUSEUM - BATTLE OF THE SMITHSONIAN



Petang tadi, saya berkesempatan menonton filem Night At The Museum 2 ini bersama suami, anak-anak dan juga seorang teman forum, Cyberkids. Sepatutnya seorang lagi teman turut serta, Procodine; tetapi ada hal mustahak untuk diselesaikan...

Saya tak pernah menonton sekuel filem ini yang pertama dengan lengkap, sekadar menjeling-jeling kaca televisyen ketika suami menonton DVD. Justeru, ketika memilih untuk menonton sekuel yang kedua ini, saya mata berharap yang ianya tidak banyak berkait dengan sekuel awal. Boleh LOST lagi sekali saya.....

Agaknya nasib saya cukup baik....walaupun tidak menonton sekuel yang pertama tetapi saya boleh mengikuti filem ini dengan baik. Saya faham jalan ceritanya! Filem ini walaupun digarap dalam bentuk komedi santai, tetapi sebenarnya ia banyak memberi maklumat berkaitan sejarah silam. Fakta sejarah disampaikan dalam bentuk yang cukup ringkas, menarik dan tidak membosankan. Terfikir juga saya, jika Kementerian Pelajaran Malaysia mengaplikasikan lakonan sebegini dalam pengajaran subjek Sejarah di sekolah, pasti murid-murid kita akan lebih berminat dalam subjek tersebut dan lebih menghargai sejarah! Terkenang pula saya pada zaman persekolahan.....selalu tertidur ketika kelas Sejarah sedang berjalan.....kalaulah filem ini mempunyai fakta-fakta sejarah untuk SPM, pasti saya sudah lulus dengan cemerlang!

Muzium...satu bangunan yang bagi saya agak mistik suasananya...suram, penuh misteri, sunyi dan kalaulah saya ditinggalkan di muzium pada waktu malam seorang diri...boleh demam seminggu agaknya! Tetapi, dalam filem ini, muzium digambarkan sebagai satu tempat yang menjadi tumpuan ramai....dengan susun atur bahan pameran yang kreatif dan suasana muzium yang ceria....tiba-tiba terasa ingin melawat muzium tersebut.....

Watak-watak bahan pameran yang menjelma hidup pada waktu malam hingga subuh sebenarnya merupakan imaginasi yang ada dalam minda kebanyakan kanak-kanak menjadikan filem ini sesuai ditonton oleh semua peringkat usia (tetapi, anak perempuan saya tertidur...kepenatan barangkali kerana berlari-larian di KFC sebelum itu). Peperangan antara dua puak yang satunya diketuai oleh Firaun Kahmunrah sungguh menarik dan mencuit hati. Ketika perang sedang rancak, muncul hero penyelamat.....Abraham Lincoln (well, lihatlah pula, ia filem dari mana....).

Keseluruhannya, saya suka filem ini kerana banyak kostum yang menarik, watak-watak yang pelbagai (memang jenis filem yang saya suka) dan paling menarik.....fakta sejarahnya disampaikan dalam bentuk cukup santai sehingga melekat dalam minda penonton (saya terutamanya).

Napoleon Bonaparte yang pendek, The Honest Abraham Lincoln (kerana suka cakap terus-terang), piramid sempurna kerana nilai pi, juruterbang wanita pertama yang menyeberangi lautan Atlantik adalah Amelia Eakhart, monyet pertama ke angkasa lepas dinamakan Abe (mungkin sempena nama timangan Abraham Lincoln), Albert Einstein yang mempunyai tabiat mengangguk-anggukan kepalanya (benarkah?) adalah antara fakta yang menarik yang saya baru ketahui hari ini!

Antara kata-kata yang menarik dalam filem ini....
  • Negara yang berpecah tidak akan berkeadaan baik (Abraham Lincoln)
  • Kunci kepada kegembiraan ialah melakukan apa yang kita suka bersama dengan orang yang kita suka (Larry Daley)



Monday, June 8, 2009

CINTA - 5 CINTA DALAM SATU CERITA


Filem CINTA ini merupakan filem melayu pertama yang saya tonton bersama suami di PAWAGAM! Itupun setelah berhari-hari memujuk dan membodek....ahaks!

Suami saya memang bukan peminat filem melayu. Dia lebih meminati filem aksi. Mengajaknya ke pawagan untuk menonton filem melayu, apatah lagi filem cinta sebegini memang memerlukan aalasan yang munasabah. Saya begitu bersungguh-sungguh ingin menonton filem ini, kerana tertarik dengan promo di kaca televisyen dan komen-komen memberangsangkan di dada-dada akhbar hiburan. Demikian positif juga komen yang diberikan oleh teman-teman yang telah menonton filem ini.

Filem CINTA menggarapkan 5 kisah percintaan yang berbeza. Dari ketulusan cinta antara adik dan kakak, suami dan isteri, sehinggalah kepada kisah cinta antara dua insan yang baru saling mengenali di usia senja. Cuma, entah kenapa...saya rasa begitu terkilan dengan kisah percintaan antara Harris dan Airin. Cinta Harris terhadap Airin begitu menebal sehingga membina sebuah mahligai yang diimpikan bersama, tetapi sayangnya tidak sempat dihuni bersama lantaran kasih Airin yang telah beralih arah. Saya seakan tidak dapat menerima hakikat, cinta seorang isteri boleh pudar tanpa disedari.....dan beralih kepada lelaki lain. Harris bukanlah lelaki yang tidak sempurna sebagai suami....cuma mungkin silapnya dia...terlalu fokus dengan kerja sehingga lupa memperbaharui cinta dengan Airin. Atau mungkinkah impian dan keinginan Airin yang terlalu tinggi?

Saya menonton filem ini dengan pelbagai perasaan yang berbaur.....kagum, sayu, syahdu, dan jauh di sudut hati....saya mendoakan agar cinta saya dan suami tidak akan menjadi seperti cinta Harris dan Airin....Biarlah di hujung usia...cinta kami masih sarat...

Filem Cinta adalah filem terbaik bagi saya....filem yang santai dan membuai perasaan! Keluar sahaja pawagam, terasa cinta untuk suami semakin bertambah!

Sunday, June 7, 2009

FINDING NEMO


Filem animasi Finding Nemo ini merupakan filem animasi pertama yang saya tonton. Filem ini juga meninggalkan satu memori indah yang pastinya akan saya kenang ke akhir hayat saya.

Seingat saya, animasi ini ditayangkan pada tahun 2003, dalam bulan Jun. Ketika itu saya berada di Perak di kawasan yang agak jauh dari bandar besar. Hati begitu teringin untuk menonton filem animasi ini tetapi apakan daya....

Satu peristiwa telah mengheret saya ke Kuala Lumpur pada waktu itu. Entah dari mana muncul keberanian dan kekuatan, saya menaiki bas menuju Kuala Lumpur seorang diri dengan harapan satu masalah dapat dirungkai dengan baik tanpa melukakan hati mana-mana pihak (dan dengan keinginan untuk mencuri peluang menonton filem ini juga).

Kehadiran saya ke kota metropolitan ini buat kali pertama (berseorangan) disambut dengan baik oleh satu keluarga yang sungguh menarik hati saya. Hari kedua berada di KL, saya dibawa menonton filem Finding Nemo ini oleh "abang angkat" saya. Hasil dari itu, saya mendapat gelaran Darla kerana sifat suka menyakat saya (dan mungkin juga nakal...hehehhe). "Abang angkat" saya? sudah tentu dia menginginkan gelaran Nemo untuk dirinya sendiri....kononnya bijak, comel, hebat dan gigih walaupun dengan kekurangan yang ada pada diri (menonton Finding Nemo kali ke-2, baru saya perasan siripnya kecil sebelah...which makes him so special).

Saya juga dihadiahkan dengan 2 notepad box berbingkai gambar, satunya berlatarkan Nemo dan satu lagi Darla. yang berlatarkan Darla, diletakkan gambar saya dan disimpan oleh si pemberi hadiah. Manakala yang berlatarkan Nemo, diletakkan gambar si pemberi hadiah dan saya diminta untuk menyimpannya (masih ada sehingga kini...).

Finding Nemo satu kisah yang memberi inspirasi buat semua. Nilai kasih sayang antara ayah dan anak, nilai persahabatan, kesungguhan dalam mencari ilmu, dan juga kegigihan serta semangat yang mengiringi setiap usaha pasti akan membuahkan kejayaan adalah antara nilai murni yang cuba diterapkan. Kerjasama menentang sebarang penindasan juga turut diselitkan. Nemo merupakan satu contoh di mana kekurangan diri tidak boleh dijadikan alasan untuk merendah diri dan hidup sekadar berpuas hati dengan apa yang ada.

Setiap kekurangan yang Tuhan berikan kepada kita, pasti akan ada kelebihan yang diiringkan bersama. Apa yang penting, kita mesti tahu apakah kekuatan dan kelebihan kita bagi mengatasi kekurangan yang ada.

Bagi saya pula, filem ini memberi inspirasi....di sebalik setiap dugaan dan kedukaan yang Allah berikan kepada saya, pasti akan ada kebahagiaan di hujung perjalanan. Tinggal lagi, saya perlukan keberanian untuk membuat keputusan. TANPA KEBERANIAN, MIMPI TIDAK AKAN MENJADI NYATA - Soal Hati.

Alhamdulillah, saya telah menjadi seperti Nemo, berani membuat keputusan dan mengikut gerak hati saya...Masalah yang membawa saya ke KL pada waktu itu juga telah saya rungkai. Kini, saya sedang membina hari-hari bahagia bersama insan yang membawa saya ke pawagam menonton Finding Nemo; insan yang sama yang menghadiahkan saya notepad box berlatarkan Nemo + Darla. Dialah juga insan yang sama yang memperkenalkan saya dengan satu keluarga yang cukup bahagia. Dialah juga "abang angkat" saya yang kini telah bergelar ayah kepada anak-anak saya.......

FINDING NEMO tetap abadi dalam lipatan memori Khairiza a.k.a Kriza....pasti!

KUCH KUCH HOTA HAI

Filem ini aku tonton ketika masih di USM, Pulau Pinang. Matrikulasi tahun dua ketika itu.

Aku dan teman-teman rapat menonton filem ini di Dewan Kuliah A, dengan membeli tiket RM2.00 seorang. Biasanya, pelajar-pelajar Pusat Pengajian Komunikasi yang suka menganjurkan tayangan perdana sebegini.

Yang paling tidak dapat kulupa, ketika sedang asyik menonton dan menghayati jalan cerita (ketika itu babak SRK tengah bersiul), tiba-tiba, bekalan elektrik terputus. Entah di mana silapnya....keadaan sudah mula hingar, tetapi suasana hingar menjadi sepi apabila seorang penonton (siswa) menyambung siulan SRK yang terputus....Fuh, memang best dan terasa seperti berada di lokasi penggambaran la pulak!

Filem ini sangat popular ketika itu...hinggakan di mana-mana sahaja kami boleh mendengar siulan ala-ala SRK itu. Bahkan, ada juga siswa yang cuba menggunakan teknik siulan tersebut untuk mengorat siswi pujaan....Gelagat yang sungguh mencuit hati!

Filem ini, sungguh menyentuh hati.....dari awal filem sudah menuntut titisan air mata apabila cinta Kajol tidak kesampaian. Memang hakikat kehidupan....lelaki biasanya lebih memandang rupa dan keayuan. Itulah yang menimpa Kajol, apabila SRK memilih Rani yang lemah lembut dan cantik berbanding dia yang agak kasar tingkahnya dan comot pula...(makes me wonder at that time...siapalah aku...).

Namun, cinta sejati tetap menang! Pertemuan semula Kajol dan SRK melalui anak SRK dan Rani, membibitkan semula cinta yang telah sirna. Pertemuan dua jiwa ini membuatkan hati masing-masing berdetak......seolah-olah ADA SESUATU antara mereka....

Filem yang sungguh romantis bagi saya....cinta yang digambarkan sungguh sempurna! Tetapi, adakah demikian sempurna juga cinta yang kita kecapi di alam realiti ini? Hurm....semoga ianya hampir sesempurna itu.....

DILWALE DULHANIA LE JAYENGE


Filem hindi...pasti ramai yang akan mengaitkannya dengan "jiwang karat". Sebetulnya, saya bukanlah peminat filem hindi. Menonton hanya sekadar untuk hiburan, itupun jarang sangat saya habiskan 3 jam tanpa henti.

Tetapi kenapa saya meletakkan filem ini di blog saya?

Filem ini, membangkitkan memori manis saya ketika tinggal di asrama lebih sedekad yang lalu. Inilah filem hindi pertama yang saya minati. 3 kali saya menonton filem ini ketika saya di tingkatan 5, tetapi bukan 3 kali ulang...tetapi 3 kali untuk menghabiskan satu tayangan lengkap.

Saya kurang pasti, siapa yang membawa pita video filem ini ke asrama. Kali pertama saya menontonnya, sudah hampir ke penghujung cerita. Rakan-rakan semua mengatakan yang filem ini sangat menarik....Lantas saya cuba untuk menonton kali ke-2...dan kali ini saya sempat menonton dari bahagian pertengahan filem (aduh, tertinggal lagi!). Dek kerana hebatnya tarikan filem ini, kami rakan-rakan seasrama tingkatan 5, membuat satu kerja yang agak gila-gila. Kami berjaga pada jam 3 pagi dan menyusup masuk ke bilik tayangan asrama (hanya dibuka pada hari cuti hujung minggu) untuk menonton filem ini! Suara pun diperlahankan supaya rakan-rakan pengawas tidak dapat mengesan 'jenayah asrama' yang kami lakukan!

Akhirnya, saya dapat menonton filem ini dari awal hingga akhir..(sebenarnya terlelap juga di pertengahan cerita, tetapi sudah ditonton sebelum itu).

Saya kurang ingat makna tajuk filem ini, tetapi ia ada kaitan dengan perkahwinan dan pengantin. Apa yang menarik mengenai filem ini adalah heronya, Shah Rukh Khan (Raj) dan heroinnya, Kajol (Simran). Pasangan ini bagi saya, sangat serasi berlakon bersama. Filem ini adalah genre komedi romantik, di mana Raj merupakan seorang jejaka kaya yang sangat nakal dan suka menyakat perempuan. Simran antara salah seorang mangsanya (watak Raj mengingatkan saya kepada watak Ali Setan).

Dari sakat-menyakat dan usik-mengusik, akhirnya cinta berputik. Namun, dugaan melanda apabila perkahwinan Simran telah ditetapkan oleh ayahnya. Bermula dari saat itulah, pelbagai cara dilakukan oleh Raj untuk mengambil hati ayah Simran yang sangat kuat berpegang kepada adat resam. Seperti biasa, walau tujuh lautan perlu direnangi, walau tujuh gunung perlu didaki (pastinya dengan iringan lagu-lagu dan baju yang bersilih ganti), filem hindi akan berakhir dengan "they get married and live happily ever after".

Istimewanya filem terbitan Yash Chopra ini, ia menampilkan lagu-lagu yang indah dan merdu nyanyian Alka Yagnik dan Udit Narayan. Lagu-lagu seperti 'Tujhe Dekha Tho', 'Ruk Ja O Dil Deewane' dan 'Mere Khwabon Mein' adalah antara lagu yang menjadi nyanyian di bibir saya dan teman-teman di asrama ketika itu. Kenangan di Aspuri STMFP 1996 kekal di ingatan....

UPIN DAN IPIN - GENG



Upin dan Ipin, dua watak animasi yang kini menjadi satu fenomena Di Malaysia. Saya jatuh cinta dengan dua watak ini seawal siaran animasi Upin dan Ipin pada bulan Ramadhan 2 tahun lepas. Setiap petang, saya dan suami akan bergegas pulang dari Bazar Ramadhan semata-mata untuk tidak melepaskan siaran Upin dan Ipin!

Ketika itu anak-anak saya masih kecil untuk jatuh hati kepada siri animasi ini. Ramadhan yang lalu, saya dan suami mula mendedahkan siri animasi ini kepada anak-anak. Begitu pantas sekali mereka menyukainya lebih-lebih lagi anak perempuan pertama saya yang memang bukan kaki televisyen seperti abangnya. Upin dan Ipin satu-satunya siaran yang anak perempuan saya kenali dan minati berbanding abangnya yang sudah serasi dengan Ben 10, PHDC, dan Ultraman.

Tatkala filem animasi ini ditayangkan di pawagam, saya dan suami membawa dua anak kami, Thaqif dan Najiha menonton bersama. Terpapar sahaja watak Upin dan Ipin di layar sinema, dengan kuat anak saya Najiha, menjerit....Upin Ipin! Sungguh seronok mereka berdua. Itulah satu-satunya tayangan yang mereka tonton dengan khusyuk sekali!

Memang tidak dapat disangkal lagi, Upin dan Ipin telah mencetuskan satu fenomena luar biasa dalam dunia animasi tanah air. Pelbagai cenderamata dan barangan telah menggunakan Upin dan Ipin sebagai daya penarik utama. Taktik ini menjadi! Saya sendiri telah membelikan anak-anak saya baju-T bergambar Upin dan Ipin. Untuk saya sendiri......nada dering Upin dan Ipin pastinya!

Saturday, June 6, 2009

WARIS JARI HANTU


Filem genre seram terbitan tahun 2007 ini sangat saya minati. Saya tabik dengan lakonan hebat seniwati Azean Irdawati yang bagi saya, tiada tandingan dan sukar untuk mencari aktres seperti beliau pada masa sekarang. Sebelum filem ini ditayangkan, saya ternanti-nanti akan filem ini setelah membaca kisah di sebalik tabir pembikinannya. Gigih sekali Azean Irdawati berlatih berjalan merangkak semata-mata untuk menghidupkan watak beliau.

Ketika menonton filem ini, saya menunggu babak Azean Irdawati merangkak untuk menjelma menjadi harimau jadian.....Wahhh.....SUPERB! Memang realistik sekali....tak sia-sia Kak Yan berlatih hingga sakit-sakit pinggang.

Filem ini, walaupun genre seram tetapi air mata tetap menitis di penghujung cerita apabila Ari bersedia berkorban untuk menerima 'warisan' dari Tok Wan Rimau; nenda kesayangan. Jika anda inginkan filem seram yang bisa membuatkan anda ketakutan di bawah selimut, ini bukanlah filem untuk anda. Waris Jari Hantu bagi saya lebih menekankan kepada aspek ikatan kasih sayang yang erat antara keluarga, kasih suci antara dua hati (Ari dan Tina), ikatan persahabatan yang begitu kuat walaupun berlainan bangsa dan juga konflik dalaman bagi golongan seperti Ari yang sebenarnya tidak pernah meminta dirinya dilahirkan sebagai khunsa.

Mungkin ada yang mengatakan filem ini ada unsur khurafat. Saya pula memandang filem ini sebagai filem yang cuba melupuskan gambaran yang tidak elok tentang 'warisan' sebegitu dalam minda masyarakat. Filem ini mengetengahkan isu 'warisan' dalam konteks yang berbeza; tujuan 'warisan' itu adalah untuk membantu masyarakat setempat dan membanteras kegiatan yang tidak baik dalam sesebuah kampung dan bukannya untuk tujuan menganiayai anggota masyarakat yang lain.

Memohon perlindungan hanya dari Allah s.w.t.....'warisan' itu juga tidak akan dapat membantu sekiranya tanpa izinNya.

Sampai sekarang, saya masih belum jemu menonton filem WJH ini....biar pun telah beberapa kali menontonnya di Astro dan juga DVD yang ada dalam simpanan. Waris Jari Hantu....filem genre SERAM YANG INDAH....

TERMINATOR SALVATION



Bagi peminat filem Terminator, mungkin sentiasa ternanti-nanti filem baru ini. Bagi saya pula, menonton filem ini adalah sebagai berkongsi minat dengan insan tersayang. Filem sebegini bukanlah genre yang saya minati....Minat saya lebih terarah kepada filem bercorak epik atau filem-filem yang tidak banyak aksi-aksi letupan dan bunyi yang membingitkan telinga...Saya suka filem seperti trilogi Lord Of The Ring dan Starwars kerana kepelbagaian watak unik dan kostum yang menarik.

Menemani insan kesayangan menonton filem ini minggu lepas, saya tertarik dengan watak Marcus. Seorang insan biasa, yang telah melakukan jenayah besar dan menerima hukuman mati. Sebelum dihukum, Marcus telah menandatangani satu persetujuan untuk mendermakan jasadnya kepada Skynet, dengan diberi harapan bahawa dia akan menerima peluang kedua untuk menebus kesilapan yang telah dilakukan.

Apabila 'dibangkitkan' belasan tahun kemudian, Marcus telah hilang memori dan mendapati dia berada dalam zaman yang kacau-bilau dan perlu berperang dengan mesin-mesin ganas. Pertembungan antara Marcus, John Connor, dan Kyle Reese serta peperangan dengan mesin menjadikan filem ini gabung jalin antara aksi yang keras dan kemanusiaan.

Marcus yang sentiasa merasakan dirinya adalah manusia normal, seakan tidak dapat menerima hakikat bahawa di sebalik jasadnya, ia adalah Terminator. Ini membuatkan John Connor meragui kejujuran Marcus dan mendorong Marcus membuat janji untuk membantu John Connor menyelamatkan Kyle Reese, bakal bapa Connor.

Penghujung cerita, Connor hampir kehilangan nyawanya apabila ditikam oleh Terminator (ketika ini baru terjawab persoalan saya, di manakah Arnold Schwarzeneggar). Atas nilai kemanusiaan, Marcus dengan rela hati memberikan jantungnya kepada Connor atas dasar "Everybody deserves the second chance".

Bagi bukan pengikut siri Terminator, jika anda hanya menonton Terminator Salvation tanpa mengikuti 3 siri yang sebelumnya, anda akan rasa LOST seperti saya....tertanya-tanya juga kenapa muda sungguh ayah Connor (Kyle Reese) dan kenapa Connor mengeluarkan kata-kata "Kill Kyle Reese, change the future, no John Connor".

Moral dari filem ini yang menarik hati saya, what makes you a human.....is...YOUR HEART!

SEPI....THAT'S LIFE!


BISIKKU PADA BULAN, KEMBALIKAN TEMANKU, KEKASIHKU, SYURGAKU

TANPA DIA, MALAM MENEMANIKU, SEPI MEMELUKKU

BULAN, JANGAN BIAR SIANG, BIAR ALAM INI KELAM, BIAR IA SEPI, SEPERTIKU...

Filem sepi, saya kira mampu mengangkat dunia perfileman tanah air...walaupun garapannya agak perlahan, tetapi mampu memberi kesan kepada jiwa penonton.Ini adalah filem melayu kedua yang menarik minat saya selepas filem CINTA. Saling kaitan antara watak Adam, Sufi dan Imaan sungguh menarik. Memberi gambaran bahawa, kita sebenarnya hidup dalam satu kelompok masyarakat yang kecil sahaja sebenarnya....meski tidak kenal antara satu sama lain, namun tidak mustahil...satu KEBETULAN akan menemukan kita pada suatu hari nanti...

Filem SEPI ini juga, sekiranya tidak ditonton dari awal cerita, penonton akan rasa LOST...terutama pada watak Imaan....yang begitu asyik menyulam kasih dengan Khalil. Hampir ke penghujung cerita, baru didedahkan bahawa...Imaan juga sebenarnya SEPI setelah kehilangan Khalil dalam satu tragedi...kehilangan buat selama-lamanya..dan ini memberi kejutan yang bukan sedikit kepada Imaan hinggakan dia sentiasa terbayang-bayang akan 'kehadiran' Khalil dan saya percaya...itulah juga yang memberi cetusan idea kepada Imaan untuk menghasilkan bait-bait puitis di atas....

Puisi di atas...meskipun hanya beberapa baris kata, tetapi cukup memberi kesan kepada jiwa...terasa SEPI itu hadir tatkala membaca puisi tersebut....SEPI...akan hadir dalam jiwa setiap insan...meski dikelilingi hilai sorak teman-teman....itu pasti....