Sunday, August 30, 2009

1957:HATI MALAYA


Lama juga saya tidak membuat apa-apa entri di blog ini lantaran kesibukan tugas harian. Dalam kekalutan isu H1N1 sekarang ini juga, saya sudak lama tidak menjejakkan kaki ke pawagam menonton filem-filem terkini walaupun hati begitu meronta-ronta untuk menonton. Apa-apapun, kesihatan perlu diutamakan.

Semalam, selepas berbuka puasa, saya mencari-cari filem yang boleh saya tonton. Alhamdulillah, TV2 menayangkan satu filem hebat tanah air ini, 1957: Hati Malaya. Filem arahan Datuk Paduka Shuhaimi Baba ini cuba menyampaikan mesej yang bagi saya sangat berat tetapi olahan cerita yang menarik telah membuatkan saya tidak berganjak walau sesaat dari kaca tv. Lazimnya, filem berunsur fakta dan sejarah sebegini akan membuatkan khalayak penonton terasa bosan tetapi ia tidak berlaku kepada saya malam tadi walaupun dalam kepenatan seharian berpuasa. SYABAS buat Datuk Paduka Shuhaimi...karya Datuk memang hebat!

Filem ini menampilkan barisan pelakon yang hebat-hebat. Dan dari filem ini juga saya yang boleh dikatakan buta sejarah ini (saya paling tidak meminati subjek Sejarah ketika di sekolah dulu) mendapat maklumat yang bukan sedikit. Antara maklumat yang sebenarnya saya baru tahu ialah bagaimana tarikh kemerdekaan itu diperolehi. Haji Abdullah Fahim, bapa kepada Ahmad Badawi yang juga merupakan datuk kepada mantan Perdana Menteri kita yang ke-5, Tun Abdullah Ahmad Badawi yang telah memberikan tarikh tersebut.

Kata beliau, tarikh yang paling sesuai untuk Malaya merdeka ialah 31 Ogos 1957. Kalau tidak dapat tarikh tersebut, kenalah tunggu 5 tahun lagi untuk tarikh yang baik. Pesan beliau, menuntut kemerdekaan adalah untuk mendapat kebaikan, jadi haruslah didapatkan secara baik tanpa melibatkan pertumpahan darah dan menyusahkan rakyat. Pesan beliau lagi kepada pemimpin-pemimpin, kalau sudah merdeka janganlah ada yang mengambil keuntungan untuk diri sendiri. Alangkah baiknya kalau pesanan ini diambil berat oleh pemimpin-pemimpin negara pada masa sekarang, yang rata-rata mengaut kekayaan melimpah-ruah sedangkan masih ada rakyat yang hidup melarat. Atau mungkin kah pesanan itu adalah sindiran halus buat mereka?

Hati saya sangat tersentuh melihat jati diri dan semangat orang-orang melayu pada zaman tersebut. Begitu juga perpaduan yang erat antara bangsa-bangsa lain yang ada. Sedangkan sekarang ini, kalau kita lihat bangsa melayu telah mula berkiblatkan barat, bangsa-bangsa lain pula sudah mula mementingkan diri sendiri dan menuntut hak yang pada mereka kesamarataan. Sedangkan, dalam filem ini, dengan jelas ditunjukkan ketika Mesyuarat Meja Bulat antara Tunku Abdul Rahman dengan pemimpin-pemimpin lain termasuk Tun HS Lee dan Tun Tan Cheng Lock, diperakui oleh semua ahli mesyuarat yang Malaya adalah hak orang melayu.

Air mata saya menitis melihat pengorbanan rakyat pada zaman tersebut demi menuntut sebuah kemerdekaan. Rombongan Tunku ingin ke London untuk menuntut merdeka...tetapi masalah kewangan menghimpit mereka. Kata Tunku "Kita tak cukup duit...". Demi sebuah kemerdekaan, kaum wanita menanggalkan barang kemas di badan mereka sebagai sumbangan dan kaum lelaki pula menderma sebahagian wang dalam poket mereka kepada rombongan Tunku.

Begitu besar pengorbanan nenek moyang kita demi mewariskan kemerdekaan ini kepada kita....dan apakah pula sumbangan kita pada negara ini demi melestarikan keamanan dan kemakmuran negara ini untuk anak cucu kita kelak?

Air mata saya menitis lagi di penghujung filem ketika bendera Union Jack diturunkan dan bendera Tanah Melayu dinaikkan buat pertama kali. Wajah-wajah syahdu dan titisan air mata kegembiraan yang dipertontonkan begitu menyentuh perasaan.

Para pelakon dalam filem ini sangat bagus...pemilihan mereka sangat tepat dengan karakter dan watak yang mereka bawakan. Bagi yang belum pernah menonton filem ini, tontonlah. Anda tidak akan rugi. bak kata Adlin Aman Ramli di penghujung cerita...."Aku lebih patriotik sekarang" begitulah juga yang saya rasakan usai menonton filem 1957: Hati Malaya ini...

SALAM MERDEKA BUAT SEMUA! Selamat menyambut ulangtahun kemerdekaan negara ke-52...MERDEKA! MERDEKA! MERDEKA!