Saturday, June 13, 2009

WARIS JARI HANTU - DI ASTRO CITRA


Seperti yang telah saya nyatakan dalam post saya sebelum ini, yang saya tidak pernah jemu menonton filem WARIS JARI HANTU ini biar berapa kalipun ia ditayangkan di kaca televisyen. Entah mengapa, saya begitu jatuh cinta dengan film ini.

Kali ini saya menyelami filem WARIS JARI HANTU ini dari sudut KONFLIK. Konflik yang wujud dalam diri hampir semua watak utamanya...

Konflik Ari
Konflik dalam diri Ari telah bermula dari dia kecil...Dia berjiwa penuh kewanitaan....suka memasak, suka menjahit, berhias dan sering merasakan dirinya adalah seorang wanita asli! Keluar dari rumah akan berselendang...Payung juga tidak ditinggalkan (saya sendiri tak sebegini...jarang sekali berpayung kecuali hujan!). Tetapi, pakaiannya masih seorang lelaki. Keluarga Ari seboleh mungkin ingin dia menjadi lelaki sejati.....

Ari sangat rapat dengan sepupunya, Tina. Bahkan, persahabatan dan persaudaraan itu telah bertukar menjadi cinta....tetapi Ari tetap dalam konflik...Mencintai Tina tetapi mustahil mengahwini Tina lantaran dalam dirinya ada naluri kewanitaan.

Apabila keluar dari kampung, Ari telah memilih untuk menukar jantinanya di Singapura. segalanya dirahsiakan dari keluarga....termasuk Tina yang setia menunggunya.

Sekembalinya dari Singapura dan pertemuan semula Ari (yang telah menjadi Arina) dan Tina, telah menghancurkan hati Ari. Hati Ari hancur apabila Tina yang diharapkan untuk menyokong perubahan dirinya telah tidak dapat menerima kenyataan yang dia bukan lagi ARI tetapi ARINA.

Skrip Ari sangat menyentuh hati saya! "Tina adalah orang yang paling penting dalam hidup Ari...yang Ari harapkan akan menyokong Ari. Tetapi, Ari tak sangka...Tina sama saja dengan mereka semua!" Betapa selama ini, Ari telah banyak berkecil hati dengan hinaan dan pelbagai gelaran yang masyarakat berikan kepadanya lantaran keadaan dirinya tetapi Tina sebagai penguat semangatnya.

Kepulangan Ari ke kampung mendedahkan Ari sebenarnya dilahirkan sebagai khunsa...mempunyai dua alat kelamin. sewajarnya telah lama Ari di"perempuankan" tetapi keegoan seorang bapa telah memerangkap Arina dalam diri Ari. Ari bukanlah manusia yang memilih menjalani hidup songsang, tetapi dia adalah kejadian Tuhan yang unik.

Ari berkorban...demi Tina yang sangat dia sayangi. Ari menerima warisan dari Tok Wan....kerana warisan Tok Wan hanya boleh diwariskan kepada seorang perempuan!

Konflik Tina
Tina terlalu mencintai Ari....begitu setia dengan Ari dari kecil sehingga dewasa. Meskipun ada godaan dari lelaki lain, tetapi Ari tetap di hari Tina.

Sehinggalah Ari menjadi Arina.....hati Tina hancur! "Dengan siapa harus Tina kahwin sekarang?"

Namun, setelah menyedari kesilapan diri, Tina kembali mencari Ari. Kasih sayangnya pada Ari terlalu tulus...sebati dalam jiwa. Saya begitu mengagumi ikatan kasih sayang antara dua watak utama ini. Tina membawa Ari pulang ke kampung dan cuba meyakinkan Kak Kasma untuk menerima Ari sebagai Arina. Tetapi...ia bukan mudah!

Kepulangan Tina ke kampung telah menyebabkan Tok Wan ingin menyerahkan warisannya kepada Tina kerana Tina adalah cucu perempuan. Tetapi Tina begitu takut....sedangkan Tok Wan sudah semakin tua.....Mengikut cerita orang-orang lama...selagi warisan tidak diberikan kepada waris terpilih, selagi itulah pengamalnya sukar untuk mati. Itulah juga yang terjadi kepada Tok Wan.

Sehinggalah warisan itu diterima oleh Ari yang menggantikan Tina.....

Konflik Tok Wan
Saka Harimau yang diamalkan Tok Wan untuk menjaga kampung dan juga kaum keluarganya perlu diserahkan kepada warisnya. Ini kerana Tok Wan sudah uzur, dan sekiranya saka itu tidak dipindah milik, roh Tok Wan tidak akan dapat meninggalkan jasadnya.

Tok Wan memilih untuk menyerahkan saka harimau itu kepada Tina kerana Tina adalah cucu perempuan. Walaupun dia tahu Ari lebih sesuai..tetapi ketika itu Ari adalah lelaki! Kata Tok Wan, ia hanya boleh diwariskan kepada perempuan, kerana perempuan tinggal diam di kampung menjaga keluarga, sedangkan lelaki akan keluar berdagang, merantau mencari rezeki.

Setelah Ari menjadi Arina....dan menerima waris tersebut....dalam bentuk cincin bertatahkan permata kuning dipakai di jari tengah (sebab itu dinamakan WARIS JARI HANTU), Tok Wan semakin uzur. Ritual mistik ditonjolkan dalam filem ini (pertama kali saya lihat), di mana Tok Wan dibaringkan di tengah-tengah ruang rumah bersetentang dengan alang utama rumah. Di saat-saat akhir hidupnya, bumbung rumah dibuka...katanya itulah caranya bagi memudahkan pengamal saka "pergi". Wallahua'lam....

Filem yang sangat menarik...saya akan menunggu lagi filem ini ditayangkan di kaca televisyen. Aha, tertarik pula dengan cincin bertatahkan permata kuning tu. Di mana boleh saya dapat ye? cincin saja tau....tak nak lah yang ada harimau ke, kucing ke, naga ke kat dalam tu.....hehehhe

No comments:

Post a Comment