Wednesday, June 10, 2009

NIGHT AT THE MUSEUM - BATTLE OF THE SMITHSONIAN



Petang tadi, saya berkesempatan menonton filem Night At The Museum 2 ini bersama suami, anak-anak dan juga seorang teman forum, Cyberkids. Sepatutnya seorang lagi teman turut serta, Procodine; tetapi ada hal mustahak untuk diselesaikan...

Saya tak pernah menonton sekuel filem ini yang pertama dengan lengkap, sekadar menjeling-jeling kaca televisyen ketika suami menonton DVD. Justeru, ketika memilih untuk menonton sekuel yang kedua ini, saya mata berharap yang ianya tidak banyak berkait dengan sekuel awal. Boleh LOST lagi sekali saya.....

Agaknya nasib saya cukup baik....walaupun tidak menonton sekuel yang pertama tetapi saya boleh mengikuti filem ini dengan baik. Saya faham jalan ceritanya! Filem ini walaupun digarap dalam bentuk komedi santai, tetapi sebenarnya ia banyak memberi maklumat berkaitan sejarah silam. Fakta sejarah disampaikan dalam bentuk yang cukup ringkas, menarik dan tidak membosankan. Terfikir juga saya, jika Kementerian Pelajaran Malaysia mengaplikasikan lakonan sebegini dalam pengajaran subjek Sejarah di sekolah, pasti murid-murid kita akan lebih berminat dalam subjek tersebut dan lebih menghargai sejarah! Terkenang pula saya pada zaman persekolahan.....selalu tertidur ketika kelas Sejarah sedang berjalan.....kalaulah filem ini mempunyai fakta-fakta sejarah untuk SPM, pasti saya sudah lulus dengan cemerlang!

Muzium...satu bangunan yang bagi saya agak mistik suasananya...suram, penuh misteri, sunyi dan kalaulah saya ditinggalkan di muzium pada waktu malam seorang diri...boleh demam seminggu agaknya! Tetapi, dalam filem ini, muzium digambarkan sebagai satu tempat yang menjadi tumpuan ramai....dengan susun atur bahan pameran yang kreatif dan suasana muzium yang ceria....tiba-tiba terasa ingin melawat muzium tersebut.....

Watak-watak bahan pameran yang menjelma hidup pada waktu malam hingga subuh sebenarnya merupakan imaginasi yang ada dalam minda kebanyakan kanak-kanak menjadikan filem ini sesuai ditonton oleh semua peringkat usia (tetapi, anak perempuan saya tertidur...kepenatan barangkali kerana berlari-larian di KFC sebelum itu). Peperangan antara dua puak yang satunya diketuai oleh Firaun Kahmunrah sungguh menarik dan mencuit hati. Ketika perang sedang rancak, muncul hero penyelamat.....Abraham Lincoln (well, lihatlah pula, ia filem dari mana....).

Keseluruhannya, saya suka filem ini kerana banyak kostum yang menarik, watak-watak yang pelbagai (memang jenis filem yang saya suka) dan paling menarik.....fakta sejarahnya disampaikan dalam bentuk cukup santai sehingga melekat dalam minda penonton (saya terutamanya).

Napoleon Bonaparte yang pendek, The Honest Abraham Lincoln (kerana suka cakap terus-terang), piramid sempurna kerana nilai pi, juruterbang wanita pertama yang menyeberangi lautan Atlantik adalah Amelia Eakhart, monyet pertama ke angkasa lepas dinamakan Abe (mungkin sempena nama timangan Abraham Lincoln), Albert Einstein yang mempunyai tabiat mengangguk-anggukan kepalanya (benarkah?) adalah antara fakta yang menarik yang saya baru ketahui hari ini!

Antara kata-kata yang menarik dalam filem ini....
  • Negara yang berpecah tidak akan berkeadaan baik (Abraham Lincoln)
  • Kunci kepada kegembiraan ialah melakukan apa yang kita suka bersama dengan orang yang kita suka (Larry Daley)



No comments:

Post a Comment