Monday, October 26, 2009

PAPADOM - Filem Kasih Sayang Keluarga



Papadom....sekali dengar pasti akan teringat kepada keropok yang dimakan bersama nasi beriani atau nasi kandar....rasa yang rangup dan mengasyikkan dikunyah. Walaupun rupanya ringkas, tidak begitu menawan......tetapi rasanya sungguh lazat sehinggakan kita tidak akan tersedar telah memakan papadom ini dengan begitu banyak....tanpa rasa bosan!

Begitulah juga dengan filem PAPADOM ini...jalan ceritanya ringkas, tidak menyerabutkan kepala, segala-galanya ringkas dari lakonan mantap pelakon-pelakonnya, lontaran skripnya, olahan ceritanya, gayanya, props dan pakaiannya......ringkas tetapi segar...tidak membosankan malah begitu mengasyikkan sehinggakan kita tidak sedar bahawa cerita yang bermula itu telahpun hampir ke penghujung!

Saya rasa, umum telah mengetahui sinopsis filem ini dari akhbar-akhbar dan juga blog-blog yang ada. Saya bukan ingin mengupas filem ini dari sudut seorang profesional kerana perfileman bukanlah bidang saya...memang tiada kena mengena langsung kerjaya saya dengan perfileman. Catatan saya di sini hanyalah sekadar pandangan saya sendiri....sudut pandangan dan pemikiran seorang PENONTON FILEM BIASA yang menghayati filem dari cara saya sendiri...mengaitkannya dengan kehidupan kita sehari-hari.

Dalam kesibukan kerja dan memenuhi undangan rumah terbuka, saya dan suami berkesempatan menonton PAPADOM ini di pawagam berhampiran. Pada mulanya suami saya menyangkakan filem ini adalah tentang makanan (papadom) semata-mata...tetapi saya telah memberi sedikit gambaran kepadanya...tentang siapa itu Papa Dom....Seperti yang telah saya katakan dalam entri yang lalu, suami saya bukanlah seorang yang suka menonton filem melayu di pawagam. Filem melayu pertama yg kami tonton adalah "CINTA" dan PAPADOM merupakan filem kedua! Semestinya aura Afdhlin Shauki yang menarik kami ke pawagam. Saya antara penonton yang PERCAYA dengan bakat dan hasil kerja Afdhlin Shauki. Bagi saya, beliau bukan sekadar pelakon yang hebat...bahkan seorang penggiat filem yang hebat. Filem-filem beliau begitu santai....tetapi membawa mesej yang tersendiri. TAHNIAH Afdhlin....teruskan berkarya!

Menonton filem ini, saya seakan-akan lupa diri seketika....saya gelak dengan sepuas-puasnya (ini filem kedua yang membuatkan saya terbahak-bahak ketawa selepas "Shaolin Soccer") dari awal cerita hingga ke akhirnya. Terasa tidak cukup dan ingin menonton lagi.....

Saadom...yang asalnya seorang yang begitu serius dengan kerjayanya sebagai peniaga dan tukang masak nasi kandar, obses dengan kerjanya hingga mengabaikan keluarga demi mengubah kehidupan, akhirnya menjadi seorang yang kelakar....mencuit hati semua orang. Kematian Mun, isteri kesayangan telah meninggalkan Saadom dengan anak gadis tunggal, Miasara. Tertawa besar saya bila melihat kotak-kotak kasut bersusun dalam stor...menunjukkan Saadom mengaplikasikan kasut sekolah pakai buang kepada Miasara. terdetik dalam hati..."Beginilah agaknya bila suami jd surirumah, nak basuh kasut sekolah anak pun malas".

Janji Saadom kepada arwah isterinya utk menjaga Miasara, dipenuhi sedaya mungkin. dari sudut pandangan Saadom sebagai seorang ayah, itu adalah tanggungjawab dia menjaga dan melindungi Miasara tetapi bagi Miasara, it merupakan kongkongan sehingga dia berasa rimas. Saadom cuba memberi ruang kepada Miasara untuk berdikari, tetapi hati dan kasih sayangnya tidak mampu membenarkan dia membiarkan Miasara jauh dari pandangan matanya. Menjadi tukang kebun semata-mata untuk memantau Miasara di universiti, rasanya satu perkara yang agak mustahil untuk seorang ayah lakukan...tetapi Papa Dom sanggup! Begitulah sebenarnya kasih seorang ayah....

Tontonlah filem ini....saya yakin anda tidak akan menyesal. Dalam tawa, ada tangis...dalam tangis kembali ada tawa....itulah juga hakikat kehidupan kita yg sebenarnya....:)

Mesej yang terselit dalam filem ini....buat anak-anak di luar sana, sekiranya kalian rasa kalian dikongkong oleh ayah atau ibu...sebenarnya itu bukan kongkongan. Itu adalah perlindungan...ibu bapa mana yang sanggup melihat anaknya ditimpa kesusahan, bukan? Bersyukurlah kerana kalian masih ada ibu bapa untuk menjaga kalian... mencurahkan kasih sayang kepada kalian....cubalah renung mata anak-anak yatim...betapa mereka merindukan apa yang kalian ada.

Mesej untuk kaum bapa.....berilah sedikit ruang untuk anak anda melakukan kesilapan agar mereka boleh belajar sesuatu dari kesilapan tersebut. Hidup penuh onak dan ranjau, andai tidak pernah terpijak duri...bagaimana mahu belajar untuk mengelak onak an ranjau yang lebih besar? Membiarkan anak berbuat khilaf bukanlah tanda tidak bertanggungjawab...tetapi kekhilafan itu biarlah masih dalam pemerhatian kita agar dapat kita membentuk anak kita kembali menjadi lebih baik dari hari-hari semalam.

Di kesempatan ini....ingin saya nukilkan..."Terima kasih abah, kerana selama aku menempuh zaman mencabar, kau sentiasa bersama aku dan memberikan aku kekuatan. Meskipun lebih byk perkataan 'tidak boleh' berbanding 'boleh' yang keluar dari bibirmu dulu hingga kadang kala aku juga seperti Miasara, asa rimas dan terpenjara....kini aku mengerti dan memahami..niat yang ada di hatimu ketika itu. Terima kasih abah....kasihmu abadi dalam hati ini"

1 comment: