Monday, September 6, 2010

Setelah sekian lama tiada update.....

Salam buat semua...

Sudah terlalu lama saya tidak membuat sebarang entri di blog ini. Bukan kerana tidak menonton filem, tetapi tidak berkesempatan untuk mengarang dan membuat entri di sini. Menonton filem masih menjadi aktiviti mingguan saya dan hubby....bahkan teater juga menjadi antara minat saya.

Terlanjur menyebut teater....antara teater hebat yang sempat saya tonton di Istana Budaya sebelum ini....Mahsuri, Natrah dan teater islamik...Antara...

Kita kesampingkan dahulu kisah filem dan teater.....biarlah entri ini menjadi entri santai..bercerita hanya tentang kehidupan saya selama saya "hilang" seketika dari blog ini :).

Awal 2010, saya disahkan hamil buat kali ke-5 (kandungan yg ke-4 keguguran di usia hampir 4 bulan, Syawal 2009). Bermula saat itu, segala-galanya berubah....mood saya tak menentu, perubahan hormon membuatkan saya tidak berminat untuk menjengah blog-blog saya....ditambah pula dgn alahan yang agak teruk dan membuatkan saya lesu. Kesibukan tugas juga menambahkan kesempitan ruang waktu yg sedia sendat.

Alhamdulillah, sepanjang kehamilan kali ini, saya diberi kekuatan untuk terus menjalankan tugas hakiki dan terus fokus untuk menghabiskan tugas lebih awal memandangkan saya akan bercuti panjang di penghujung tahun. Walaupun kadang-kala kelelahan dengan kerja yang tidak putus-putus di sekolah.....tp saya kuatkan juga diri...semoga kekuatan semangat itu diserap oleh anak dalam kandungan :).

Saya dijangka bersalin pada 1 Oktober 2010. Dan saya bersama suami berharap agar kelahiran anak kali ini sama tarikh dgn si abang sulung, Thaqif yang lahir pada 4 Oktober 2004, jimat duit kek birthday ;).

Di penghujung kehamilan, Ramadhan mula menjengah. Saya kuatkan diri untuk menjalani ibadah puasa dengan sesempurna mungkin walaupun adakalanya hampir pitam apabila kepanasan. Saya gigihkan diri untuk bangun bersahur setiap hari...tetapi usai tugas di sekolah pada jam 1 ptg....saya pasti akan balik dan tidur kerana kepenatan. Sungguh lelah berpuasa dalam keadaan yang sarat mengandung bulan ke-8. Pada minggu ke-34 kehamilan, doktor mengharapkan saya dpt terus bertahan hingga mggu ke-38 sebelum melahirkan. Sejarah kelahiran anak-anak saya...semuanya lebih awal dari tarikh jangka...sekurang-kurangnya awal 2 minggu. Doktor juga menasihatkan saya utk tidak membuat perjalanan jauh di penghujung Ramadhan...dikhuatiri bersalin dalam perjalanan...hurm.

Tanggal 31 Ogos 2010, hari cuti umum sempena ulangtahun kemerdekaan negara, saya dan suami ke kedai perabot berhampiran rumah. Saya ingin menukar sofa di rumah yg telah berusia 5 tahun (yang saya beli seminggu sebelum kelahiran anak ke-2 kami, Najiha). Balik rumah, saya sibukkan diri dengan mengemas stor mainan anak-anak...mata dah berserabut melihat terlalu banyak mainan yg rosak bercampur dengan yang masih elok. Hubby menegah saya membuat kerja berat...katanya "kang terberanak pulak..."...hehehehe....tp, masa tu dah terdetik dalam hati saya..."aku ni nak bersalin ke besok ni? ishkk...awal lg ni"

Antara tanda-tanda saya akan bersalin.....saya akan mengemas rumah sampai letih sehari sebelum bersalin... ;).

Pagi 1 September 2010, saya terasa berat hati nak ke sekolah. Tetapi, pelajar saya akan mengambil peperiksaan subjek yang saya ajar pada hari tersebut...so, saya mesti ke sekolah memandangkan kertas soalan pun, saya yang sediakan. Dalam jam 10.00 pg, saya berada di perpustakaan sekolah untuk menyediakan skema pemarkahan....ketika itulah baby bergerak sangat aktif...perut saya mengeras dengan kerap hingga tidak selesa untuk duduk. Tetapi, tak ada tanda-tanda sakit pinggang sebagaimana contraction biasa. Saya sms hubby....dan hubby pulak kata...."awal lg tu....biasa je kot gitu. tp kalau nak gi cek, nnt baliklah"

Saya siapkan kerja...dan minta bantuan sahabat saya untuk masuk menggantikan kelas saya jam 12.00 tghari kerana saya dah tak sedap hati utk berada lama di sekolah. Jam 11.30 pagi, saya balik....selesaikan urusan di rumah dan hampir jam 2.00 ptg, saya ke hospital. Semua doktor sedang rehat...jam 2.00 baru doktor akan bertugas. Saya minta pada nurse, saya nak cek jer...so, staff nurse bertugas mengambil alih tugas doktor.

Soalan pertama SN pada saya..."sakit macam mana? Awak belum cukup bulan lagi ni...ni baru mggu ke-35...mana boleh bersalin lagi. Kencing kotor je kot ni..."

Jawab saya..."Perut saya mengeras banyak kali...sakit pinggang mmg tak teruk pun, baru rasa sikit2....tanda-tanda lain mmg tak ada...tapi, semua 3 anak saya sblm ni...camni lah jugak. Memang saya jenis yang tak ada sakit...tak ada tanda"

So, dengan muka cuak...SN cek la jugak....hehehe....kata dia..."Ha'ah la....dah 2 cm dah! Tak boleh balik dah....nanti pilih bilik". ( Saya check-up dan bersalin di KPMC, Kajang dari anak sulung lagi... Tak pernah ke hospital kerajaan sebab saya ni penakut sikit... :p).

SN terus call doktor yang akan attend case saya (dr anak sulung lg...Prof. Jamil inilah yang sambut baby saya). Prof. Jamil visit saya di bilik, dan lagi sekali cek....dah 3 cm dah. Kata dia, dah 3 cm...proceed je. Menurut SN, baby saya cukup2 jer 36 minggu...BORDERLINE! Risau dan gusar juga saya.....harap2 baby okay.

Jam 3.30 ptg, saya di bawa ke labour room walaupun saya belum sakit langsung. Saya diberi injection tahan sakit (even mula2 saya menolak sbb saya belum sakit...dan sbnrnya...saya sgt takut jarum!). Lama juga menunggu...bila nak sakit....hinggakan saya dah mula rasa mengantuk (kesan ubat tahan sakit) dan saya memaksa hubby bersembang dengan saya to keep me awake...hehehhe. Jam 4.30 ptg, bukaan baru 5 cm. Hubby ke surau utk solat asar. Jarum jam dah menghampiri jam 5.00 ptg tapi saya belum lagi rasa contraction yang menyakitkan itu.

Saya dah mula risau....kalau tak sakit, camana nak bersalin? Camana nak push?.

Tepat jam 5.10 ptg...barulah rasa contraction itu datang. Berkerut2 muka saya menahan sakit. Jam 5.30 ptg, Prof. Jamil masuk ke labour room.....dan dgn dua kali teran....Saya selamat melahirkan seorang puteri. ALLAHUAKBAR! Itu perkataan pertama sy luahkan....kerana terasa betapa mudahnya kelahiran kali ini...Allah permudahkan segalanya mungkin disebabkan Ramadhan yg mulia....kalau ikutkan logik, dalam keadaan saya yg berpuasa sebelum itu, sudah tentu tak banyak tenaga untuk melahirkan.

Sementara menunggu tenaga pulih sblm dipindahkan ke bilik....komplikasi berlaku. Saya tumpah darah (bleeding)....sangat banyak! Saya pun terkejut bila melihat jumlah darah ketika nurse menukarkan alas tempat saya baring. Setiap kali saya batuk...saya terasa darah membuak-buak keluar. Ya Allah! Kata nurse....pintu rahim saya belum tertutup...ada darah beku. Macam-macam cara mereka usahakan....tangan kiri saya dimasukkan jarum besar utk dimasukkan ubat...dan sampel darah saya diambil! Sakitnya tangan saya ditusuk jarum....huhuhu.

Nurse dan SN observe saya di labour room...dan memastikan tekanan darah saya tidak turun terlalu banyak kerana kehilangan darah. Kata nurse, kalau BP saya drop, darah akan dimasukkan.....huhuhu. Jam 9.30 mlm, saya masih di labour room....pemeriksaan terakhir...nurse menyeluk utk mengeluarkan darah beku yang masih ada. Sakitnya....Tuhan saja yang tahu apabila terkena stitches yang ada tu. Menitis air mata saya kesakitan....MasyaAllah....sakit sangat. Ketika melahirkan, tiada setitik pun air mata saya keluar.....tetapi ketika mengeluarkan darah beku tu, rasa mcm mau saja saya minta nurse hentikan rawatan. Pedih, sakit, perit.....semua ada!

Hampir jam 10 mlm baru saya dipindahkan ke bilik dari labour room. Lama betul saya berada di labour room kali ini. Alhamdulillah, tak perlu saya terima darah baru. Esok pagi baru saya diberitahu oleh nurse, ketika berada di labour room malam tu, saya dah pucat sangat. Sebab itu mereka tak berani tinggalkan saya seorang diri. Inilah satu kelebihan bersalin di hospital swasta. Layanan yang membuat kita selesa. Bukan saya nak kata hospital kerajaan servisnya tak bagus, tp kadang-kala banyak kes yang perlu mereka uruskan pada satu2 masa....membuatkan mereka tak mampu utk melayan kita sahaja.

Kini....sudah seminggu usia puteri ke-3 saya (anak ke-4), Nur Irdina Al-Mardhiah binti Khairuddin. Lahir tepat jam 5.39 ptg, 1 September 2010....sebulan lebih awal dari tarikh jangkaan....dan hanya seberat 2.4 kg ketika dilahirkan (paling kecil antara anak-anak saya).

Alhamdulillah....setakat ini, tidak banyak karenah dan mudah sekali menjaga Irdina.... :). Syukur Ya Allah, atas kurniaan Ramadhan Mu ini kepada kami sekeluarga!




Monday, October 26, 2009

PAPADOM - Filem Kasih Sayang Keluarga



Papadom....sekali dengar pasti akan teringat kepada keropok yang dimakan bersama nasi beriani atau nasi kandar....rasa yang rangup dan mengasyikkan dikunyah. Walaupun rupanya ringkas, tidak begitu menawan......tetapi rasanya sungguh lazat sehinggakan kita tidak akan tersedar telah memakan papadom ini dengan begitu banyak....tanpa rasa bosan!

Begitulah juga dengan filem PAPADOM ini...jalan ceritanya ringkas, tidak menyerabutkan kepala, segala-galanya ringkas dari lakonan mantap pelakon-pelakonnya, lontaran skripnya, olahan ceritanya, gayanya, props dan pakaiannya......ringkas tetapi segar...tidak membosankan malah begitu mengasyikkan sehinggakan kita tidak sedar bahawa cerita yang bermula itu telahpun hampir ke penghujung!

Saya rasa, umum telah mengetahui sinopsis filem ini dari akhbar-akhbar dan juga blog-blog yang ada. Saya bukan ingin mengupas filem ini dari sudut seorang profesional kerana perfileman bukanlah bidang saya...memang tiada kena mengena langsung kerjaya saya dengan perfileman. Catatan saya di sini hanyalah sekadar pandangan saya sendiri....sudut pandangan dan pemikiran seorang PENONTON FILEM BIASA yang menghayati filem dari cara saya sendiri...mengaitkannya dengan kehidupan kita sehari-hari.

Dalam kesibukan kerja dan memenuhi undangan rumah terbuka, saya dan suami berkesempatan menonton PAPADOM ini di pawagam berhampiran. Pada mulanya suami saya menyangkakan filem ini adalah tentang makanan (papadom) semata-mata...tetapi saya telah memberi sedikit gambaran kepadanya...tentang siapa itu Papa Dom....Seperti yang telah saya katakan dalam entri yang lalu, suami saya bukanlah seorang yang suka menonton filem melayu di pawagam. Filem melayu pertama yg kami tonton adalah "CINTA" dan PAPADOM merupakan filem kedua! Semestinya aura Afdhlin Shauki yang menarik kami ke pawagam. Saya antara penonton yang PERCAYA dengan bakat dan hasil kerja Afdhlin Shauki. Bagi saya, beliau bukan sekadar pelakon yang hebat...bahkan seorang penggiat filem yang hebat. Filem-filem beliau begitu santai....tetapi membawa mesej yang tersendiri. TAHNIAH Afdhlin....teruskan berkarya!

Menonton filem ini, saya seakan-akan lupa diri seketika....saya gelak dengan sepuas-puasnya (ini filem kedua yang membuatkan saya terbahak-bahak ketawa selepas "Shaolin Soccer") dari awal cerita hingga ke akhirnya. Terasa tidak cukup dan ingin menonton lagi.....

Saadom...yang asalnya seorang yang begitu serius dengan kerjayanya sebagai peniaga dan tukang masak nasi kandar, obses dengan kerjanya hingga mengabaikan keluarga demi mengubah kehidupan, akhirnya menjadi seorang yang kelakar....mencuit hati semua orang. Kematian Mun, isteri kesayangan telah meninggalkan Saadom dengan anak gadis tunggal, Miasara. Tertawa besar saya bila melihat kotak-kotak kasut bersusun dalam stor...menunjukkan Saadom mengaplikasikan kasut sekolah pakai buang kepada Miasara. terdetik dalam hati..."Beginilah agaknya bila suami jd surirumah, nak basuh kasut sekolah anak pun malas".

Janji Saadom kepada arwah isterinya utk menjaga Miasara, dipenuhi sedaya mungkin. dari sudut pandangan Saadom sebagai seorang ayah, itu adalah tanggungjawab dia menjaga dan melindungi Miasara tetapi bagi Miasara, it merupakan kongkongan sehingga dia berasa rimas. Saadom cuba memberi ruang kepada Miasara untuk berdikari, tetapi hati dan kasih sayangnya tidak mampu membenarkan dia membiarkan Miasara jauh dari pandangan matanya. Menjadi tukang kebun semata-mata untuk memantau Miasara di universiti, rasanya satu perkara yang agak mustahil untuk seorang ayah lakukan...tetapi Papa Dom sanggup! Begitulah sebenarnya kasih seorang ayah....

Tontonlah filem ini....saya yakin anda tidak akan menyesal. Dalam tawa, ada tangis...dalam tangis kembali ada tawa....itulah juga hakikat kehidupan kita yg sebenarnya....:)

Mesej yang terselit dalam filem ini....buat anak-anak di luar sana, sekiranya kalian rasa kalian dikongkong oleh ayah atau ibu...sebenarnya itu bukan kongkongan. Itu adalah perlindungan...ibu bapa mana yang sanggup melihat anaknya ditimpa kesusahan, bukan? Bersyukurlah kerana kalian masih ada ibu bapa untuk menjaga kalian... mencurahkan kasih sayang kepada kalian....cubalah renung mata anak-anak yatim...betapa mereka merindukan apa yang kalian ada.

Mesej untuk kaum bapa.....berilah sedikit ruang untuk anak anda melakukan kesilapan agar mereka boleh belajar sesuatu dari kesilapan tersebut. Hidup penuh onak dan ranjau, andai tidak pernah terpijak duri...bagaimana mahu belajar untuk mengelak onak an ranjau yang lebih besar? Membiarkan anak berbuat khilaf bukanlah tanda tidak bertanggungjawab...tetapi kekhilafan itu biarlah masih dalam pemerhatian kita agar dapat kita membentuk anak kita kembali menjadi lebih baik dari hari-hari semalam.

Di kesempatan ini....ingin saya nukilkan..."Terima kasih abah, kerana selama aku menempuh zaman mencabar, kau sentiasa bersama aku dan memberikan aku kekuatan. Meskipun lebih byk perkataan 'tidak boleh' berbanding 'boleh' yang keluar dari bibirmu dulu hingga kadang kala aku juga seperti Miasara, asa rimas dan terpenjara....kini aku mengerti dan memahami..niat yang ada di hatimu ketika itu. Terima kasih abah....kasihmu abadi dalam hati ini"

Sunday, August 30, 2009

1957:HATI MALAYA


Lama juga saya tidak membuat apa-apa entri di blog ini lantaran kesibukan tugas harian. Dalam kekalutan isu H1N1 sekarang ini juga, saya sudak lama tidak menjejakkan kaki ke pawagam menonton filem-filem terkini walaupun hati begitu meronta-ronta untuk menonton. Apa-apapun, kesihatan perlu diutamakan.

Semalam, selepas berbuka puasa, saya mencari-cari filem yang boleh saya tonton. Alhamdulillah, TV2 menayangkan satu filem hebat tanah air ini, 1957: Hati Malaya. Filem arahan Datuk Paduka Shuhaimi Baba ini cuba menyampaikan mesej yang bagi saya sangat berat tetapi olahan cerita yang menarik telah membuatkan saya tidak berganjak walau sesaat dari kaca tv. Lazimnya, filem berunsur fakta dan sejarah sebegini akan membuatkan khalayak penonton terasa bosan tetapi ia tidak berlaku kepada saya malam tadi walaupun dalam kepenatan seharian berpuasa. SYABAS buat Datuk Paduka Shuhaimi...karya Datuk memang hebat!

Filem ini menampilkan barisan pelakon yang hebat-hebat. Dan dari filem ini juga saya yang boleh dikatakan buta sejarah ini (saya paling tidak meminati subjek Sejarah ketika di sekolah dulu) mendapat maklumat yang bukan sedikit. Antara maklumat yang sebenarnya saya baru tahu ialah bagaimana tarikh kemerdekaan itu diperolehi. Haji Abdullah Fahim, bapa kepada Ahmad Badawi yang juga merupakan datuk kepada mantan Perdana Menteri kita yang ke-5, Tun Abdullah Ahmad Badawi yang telah memberikan tarikh tersebut.

Kata beliau, tarikh yang paling sesuai untuk Malaya merdeka ialah 31 Ogos 1957. Kalau tidak dapat tarikh tersebut, kenalah tunggu 5 tahun lagi untuk tarikh yang baik. Pesan beliau, menuntut kemerdekaan adalah untuk mendapat kebaikan, jadi haruslah didapatkan secara baik tanpa melibatkan pertumpahan darah dan menyusahkan rakyat. Pesan beliau lagi kepada pemimpin-pemimpin, kalau sudah merdeka janganlah ada yang mengambil keuntungan untuk diri sendiri. Alangkah baiknya kalau pesanan ini diambil berat oleh pemimpin-pemimpin negara pada masa sekarang, yang rata-rata mengaut kekayaan melimpah-ruah sedangkan masih ada rakyat yang hidup melarat. Atau mungkin kah pesanan itu adalah sindiran halus buat mereka?

Hati saya sangat tersentuh melihat jati diri dan semangat orang-orang melayu pada zaman tersebut. Begitu juga perpaduan yang erat antara bangsa-bangsa lain yang ada. Sedangkan sekarang ini, kalau kita lihat bangsa melayu telah mula berkiblatkan barat, bangsa-bangsa lain pula sudah mula mementingkan diri sendiri dan menuntut hak yang pada mereka kesamarataan. Sedangkan, dalam filem ini, dengan jelas ditunjukkan ketika Mesyuarat Meja Bulat antara Tunku Abdul Rahman dengan pemimpin-pemimpin lain termasuk Tun HS Lee dan Tun Tan Cheng Lock, diperakui oleh semua ahli mesyuarat yang Malaya adalah hak orang melayu.

Air mata saya menitis melihat pengorbanan rakyat pada zaman tersebut demi menuntut sebuah kemerdekaan. Rombongan Tunku ingin ke London untuk menuntut merdeka...tetapi masalah kewangan menghimpit mereka. Kata Tunku "Kita tak cukup duit...". Demi sebuah kemerdekaan, kaum wanita menanggalkan barang kemas di badan mereka sebagai sumbangan dan kaum lelaki pula menderma sebahagian wang dalam poket mereka kepada rombongan Tunku.

Begitu besar pengorbanan nenek moyang kita demi mewariskan kemerdekaan ini kepada kita....dan apakah pula sumbangan kita pada negara ini demi melestarikan keamanan dan kemakmuran negara ini untuk anak cucu kita kelak?

Air mata saya menitis lagi di penghujung filem ketika bendera Union Jack diturunkan dan bendera Tanah Melayu dinaikkan buat pertama kali. Wajah-wajah syahdu dan titisan air mata kegembiraan yang dipertontonkan begitu menyentuh perasaan.

Para pelakon dalam filem ini sangat bagus...pemilihan mereka sangat tepat dengan karakter dan watak yang mereka bawakan. Bagi yang belum pernah menonton filem ini, tontonlah. Anda tidak akan rugi. bak kata Adlin Aman Ramli di penghujung cerita...."Aku lebih patriotik sekarang" begitulah juga yang saya rasakan usai menonton filem 1957: Hati Malaya ini...

SALAM MERDEKA BUAT SEMUA! Selamat menyambut ulangtahun kemerdekaan negara ke-52...MERDEKA! MERDEKA! MERDEKA!

Friday, June 26, 2009

Transformers: Revenge Of The Fallen



Transformers: Revenge Of The Fallen…

Setelah 2 minggu bertungkus-lumus menyiapkan kerja-kerja yang berat dan sungguh memberi tekanan mental dan fizikal kepada saya, semalam (25 Jun 2009), saya pulang awal ke rumah dan membawa seisi rumah ke pawagam untuk menonton filem ini. Saya bersama suami, anak-anak saya Thaqif, Najiha dan Safiya, ibu saya dan juga pembantu saya menonton bersama-sama. Ini kali pertama anak kecil saya ikut serta bersama pembantu saya.

Semalam adalah Family Outing bagi saya….sudah sekian lama tidak bersantai bersama lantaran tuntutan kerja yang sangat meyesakkan nafas. Anak sulung saya, Thaqif begitu teruja melihat sedutan filem ini kerana banyak robot (sebutannya….modobot). Tetapi, selepas 5 minit tayangan, dia tertidur kepenatan…hehehe.

Ulasan saya, Transformers: Revenge Of The Fallen ini merupakan satu filem yang hebat dengan kesan bunyi dan juga aksi-aksi pertarungan antara robot. Saya bukan peminat Transformers sebenarnya, dan saya TIDAK PERNAH menonton siri animasi Transformers ini ketika zaman kanak-kanak saya. Siri ini telah ada sejak usia saya belum mencapai 10 tahun. Begitu lama Transformers ini telah ada dalam industri. Transformers yang pertama juga tidak saya tonton. Transformers: Revenge Of The Fallen ini lah yang pertama saya ikuti dengan serius.

Sebagai orang yang baru pertama kali menonton siri Transformers, saya memberi pujian kepada filem ini sebab begitu unik. Saya seronok melihat transformasi sebuah kereta kepada sebuah robot berkuasa dan dari sebuah robot berkuasa yang Nampak “keras” secara fizikalnya, di transformasikan kepada sebuah kehidupan yang mempunyai emosi seperti manusia! Saya jatuh hati kali pertama dengan Transformers. Usai menonton, saya ke KFC dan membeli 4 mainan Transformers untuk anak saya dan juga Variey Bucket yang mendapat hadiah percuma Chill Pack Transformers.

Filem Transformers: Revenge Of The Fallen mengisahkan peperangan antara Decepticons yang diketuai oleh The Fallen dengan manusia untuk menakluki planet Bumi. Tetapi, manusia pula mendapat sokongan dari Autobots yang diketuai Optimus Prime yang juga merupakan saudara kepada The Fallen. Puak Decepticons amat memusuhi manusia manakala Autobots lebih memihak kepada manusia. Tetapi, memang realiti hidup....walau bagaimana baik dan banyak sekalipun jasa kita kepada sesuatu pihak, pasti akan ada yang cuba mempertikaikan keikhlasan kita...itulah juga yang berlaku kepada Optimus Prime dan rakan-rakannya apabila Galloway beranggapan bahawa Prime sengaja terus berada di bumi untuk memancing serangan pihak Decepticons ke atas Bumi.

Sam dan Mikaela adalah sepasang kekasih yang mempunyai kelebihan tersendiri. Sam diminta oleh Optimus Prime untuk membantu mereka memerangi Decepticons tetapi Sam menolak. Namun, akhirnya Sam menyedari yang dia memang dipilih dan ditakdirkan untuk membantu Optimus Prime dan penduduk Bumi dari terus diserang dan dimusnahkan oleh Decepticons....itupun hanya setelah Optimus Prime "mati".
Dipendekkan cerita, Optimus Prime dapat dihidupkan kembali dengan bantuan daripada Jetlife, otai Decepticons yang telah memihak kepada Autobots. Saya tertarik dengan ayat Jetlife....
"Aku tidak mahu berterusan hidup dalam kebencian dan memusuhi orang"
Entah kenapa, saya teringat kepada situasi politik negara yang makin teruk, benci-membenci sesama rakyat....which makes me very upset and worrying me about the future life of my kids.
Dalam pertempuran antara Autobots dan Decepticons, yang sudah pastinya dibantu oleh pasukan tentera USA (kononnya pasukan tentera USA ini bertanggungjawab terhadap keamanan dunia....hurm), Optimus Prime sekali lagi parah. Jetlife pula, berkorban demi sebuah perjuangan kerana baginya, dia tidak pernah berbuay sesuatu yang berfaedah sepanjang hayatnya...so, that is the time for him to do something valuable untuk orang lain. Jetlife korbankan sumber tenaga hayatnya dan juga mendermakan bahagian anggota badannya kepada Optimus Prime (macam derma organ ler pulak)....katanya, cantuman tersebut akan menghasilkan kekuatan yang tidak pernah sesiapa jangkakan.
Sekali lagi....terimbas saya kepada senario politik semasa...Gabungan yang akan membentuk satu kekuatan yang luar biasa...Mungkin kah akan terjadi sebegini juga sekiranya PAS dan UMNO bergabung pada masa depan? Gabungan yang akan membentuk satu kesatuan yang kukuh dan kuat bagi melindungi dan memperjuangkan sesuatu yang semakin "kita" hilang kini.......Mungkinkah?
InsyaAllah......Kau permudahkan lah segala-galanya Ya Allah....

Tuesday, June 16, 2009

BRAINSCAN - AKU DAN TOPI AJAIB



Filem Brainscan ini saya tonton secara kebetulan di Astro semalam. Bukan tak ingin menyokong filem melayu dengan menontonnya di pawagam tetapi saya sendiri tidak perasan sebenarnya bila filem ini ditayangkan.

Antara pelakon utama filem ini adalah anak murid saya, Eric Fuzi dan juga bekas junior saya di SMSTFP, Nik Sayyidah Fatiha. Dari kaca mata saya, filem ini sangat menarik hati dengan komedi dan lawak jenaka yang dilakonkan oleh Nik Sayyidah Fatiha (lebih sy kenali dgn nama Are), Adruce, Eric dan juga Zul Yahya. Saya ketawa besar menonton babak Yati (Nik Sayyidah Fatiha) membebel di pagi hari kepada anak dan suaminya.....dengan bebelannya dalam loghat Kelantan pekat (Kelantanese pasti faham dan gelak tergolek-golek) berselang dengan Mak Yong nya (secara peribadi, saya memang mengenali Nik Sayyidah Fatiha ini ada kaitan dengan Primadona Mak Yong), Zul Yahya pula dengan watak garangnya......aduh...sungguh mencuit hati! Bebelan Yati mengingatkan saya kepada amukan ibu saya ketika melayan karenah kedegilan dan kenakalan saya kecil-kecil dahulu...lebih kurang macam tulah saya kena marah dulu!

"amboi....budok ni...i labi u, u labi air buke maing lagi, bangun bangun bangun along, gi skoloh !tgohari ccecey doh ni"

"apo bising2 pagi buto ni mok?"

"pagi? pagi koghok mung! hei matohaghi doh dok ccace tegok.. atah langit tu pagi? bangun...doh tengoh haghi doh ni...gi skoloh, maghoh ccekgu. aye bapok hok tuo skali pung doh bangun doh haih along weh , mung jah hok tok bangun lagi nyo....cepat bangun bangun...tengoh haghi doh.

Ni lak...gaya Mak Yong....

"bangun bangun bangun anakku bangun. Ehhh...gi skoloh baik pado tidoooo... anok weii...ei...ei..eiii..."

Berulang-ulang kali saya tonton bahagian ini di Youtube.....ada saya letakkan di laman tepi blog saya ini...

Filem ini bagi saya, tidak lebih sekadar filem santai bersama keluarga. Untuk meringankan kepala yang sendat dengan masalah kerja dan masalah hidup...Lakonan mantap oleh Nik Sayyidah Fatiha dengan lawak yang bersahaja dan semulajadi, menghidupkan filem ini. Lakonan anak murid saya, Eric Fuzi juga semakin dewasa seiring dengan usia (Eric ni pelakon, tetapi jarang benar dia berlakon di sekolah...ermmm). Zul Yahya juga tidak kurang hebatnya.

Andai kepala tengah pening, layan lah filem ini, pasti anda tidak kering gusi....hehehhe

Saturday, June 13, 2009

WARIS JARI HANTU - DI ASTRO CITRA


Seperti yang telah saya nyatakan dalam post saya sebelum ini, yang saya tidak pernah jemu menonton filem WARIS JARI HANTU ini biar berapa kalipun ia ditayangkan di kaca televisyen. Entah mengapa, saya begitu jatuh cinta dengan film ini.

Kali ini saya menyelami filem WARIS JARI HANTU ini dari sudut KONFLIK. Konflik yang wujud dalam diri hampir semua watak utamanya...

Konflik Ari
Konflik dalam diri Ari telah bermula dari dia kecil...Dia berjiwa penuh kewanitaan....suka memasak, suka menjahit, berhias dan sering merasakan dirinya adalah seorang wanita asli! Keluar dari rumah akan berselendang...Payung juga tidak ditinggalkan (saya sendiri tak sebegini...jarang sekali berpayung kecuali hujan!). Tetapi, pakaiannya masih seorang lelaki. Keluarga Ari seboleh mungkin ingin dia menjadi lelaki sejati.....

Ari sangat rapat dengan sepupunya, Tina. Bahkan, persahabatan dan persaudaraan itu telah bertukar menjadi cinta....tetapi Ari tetap dalam konflik...Mencintai Tina tetapi mustahil mengahwini Tina lantaran dalam dirinya ada naluri kewanitaan.

Apabila keluar dari kampung, Ari telah memilih untuk menukar jantinanya di Singapura. segalanya dirahsiakan dari keluarga....termasuk Tina yang setia menunggunya.

Sekembalinya dari Singapura dan pertemuan semula Ari (yang telah menjadi Arina) dan Tina, telah menghancurkan hati Ari. Hati Ari hancur apabila Tina yang diharapkan untuk menyokong perubahan dirinya telah tidak dapat menerima kenyataan yang dia bukan lagi ARI tetapi ARINA.

Skrip Ari sangat menyentuh hati saya! "Tina adalah orang yang paling penting dalam hidup Ari...yang Ari harapkan akan menyokong Ari. Tetapi, Ari tak sangka...Tina sama saja dengan mereka semua!" Betapa selama ini, Ari telah banyak berkecil hati dengan hinaan dan pelbagai gelaran yang masyarakat berikan kepadanya lantaran keadaan dirinya tetapi Tina sebagai penguat semangatnya.

Kepulangan Ari ke kampung mendedahkan Ari sebenarnya dilahirkan sebagai khunsa...mempunyai dua alat kelamin. sewajarnya telah lama Ari di"perempuankan" tetapi keegoan seorang bapa telah memerangkap Arina dalam diri Ari. Ari bukanlah manusia yang memilih menjalani hidup songsang, tetapi dia adalah kejadian Tuhan yang unik.

Ari berkorban...demi Tina yang sangat dia sayangi. Ari menerima warisan dari Tok Wan....kerana warisan Tok Wan hanya boleh diwariskan kepada seorang perempuan!

Konflik Tina
Tina terlalu mencintai Ari....begitu setia dengan Ari dari kecil sehingga dewasa. Meskipun ada godaan dari lelaki lain, tetapi Ari tetap di hari Tina.

Sehinggalah Ari menjadi Arina.....hati Tina hancur! "Dengan siapa harus Tina kahwin sekarang?"

Namun, setelah menyedari kesilapan diri, Tina kembali mencari Ari. Kasih sayangnya pada Ari terlalu tulus...sebati dalam jiwa. Saya begitu mengagumi ikatan kasih sayang antara dua watak utama ini. Tina membawa Ari pulang ke kampung dan cuba meyakinkan Kak Kasma untuk menerima Ari sebagai Arina. Tetapi...ia bukan mudah!

Kepulangan Tina ke kampung telah menyebabkan Tok Wan ingin menyerahkan warisannya kepada Tina kerana Tina adalah cucu perempuan. Tetapi Tina begitu takut....sedangkan Tok Wan sudah semakin tua.....Mengikut cerita orang-orang lama...selagi warisan tidak diberikan kepada waris terpilih, selagi itulah pengamalnya sukar untuk mati. Itulah juga yang terjadi kepada Tok Wan.

Sehinggalah warisan itu diterima oleh Ari yang menggantikan Tina.....

Konflik Tok Wan
Saka Harimau yang diamalkan Tok Wan untuk menjaga kampung dan juga kaum keluarganya perlu diserahkan kepada warisnya. Ini kerana Tok Wan sudah uzur, dan sekiranya saka itu tidak dipindah milik, roh Tok Wan tidak akan dapat meninggalkan jasadnya.

Tok Wan memilih untuk menyerahkan saka harimau itu kepada Tina kerana Tina adalah cucu perempuan. Walaupun dia tahu Ari lebih sesuai..tetapi ketika itu Ari adalah lelaki! Kata Tok Wan, ia hanya boleh diwariskan kepada perempuan, kerana perempuan tinggal diam di kampung menjaga keluarga, sedangkan lelaki akan keluar berdagang, merantau mencari rezeki.

Setelah Ari menjadi Arina....dan menerima waris tersebut....dalam bentuk cincin bertatahkan permata kuning dipakai di jari tengah (sebab itu dinamakan WARIS JARI HANTU), Tok Wan semakin uzur. Ritual mistik ditonjolkan dalam filem ini (pertama kali saya lihat), di mana Tok Wan dibaringkan di tengah-tengah ruang rumah bersetentang dengan alang utama rumah. Di saat-saat akhir hidupnya, bumbung rumah dibuka...katanya itulah caranya bagi memudahkan pengamal saka "pergi". Wallahua'lam....

Filem yang sangat menarik...saya akan menunggu lagi filem ini ditayangkan di kaca televisyen. Aha, tertarik pula dengan cincin bertatahkan permata kuning tu. Di mana boleh saya dapat ye? cincin saja tau....tak nak lah yang ada harimau ke, kucing ke, naga ke kat dalam tu.....hehehhe

Wednesday, June 10, 2009

NIGHT AT THE MUSEUM - BATTLE OF THE SMITHSONIAN



Petang tadi, saya berkesempatan menonton filem Night At The Museum 2 ini bersama suami, anak-anak dan juga seorang teman forum, Cyberkids. Sepatutnya seorang lagi teman turut serta, Procodine; tetapi ada hal mustahak untuk diselesaikan...

Saya tak pernah menonton sekuel filem ini yang pertama dengan lengkap, sekadar menjeling-jeling kaca televisyen ketika suami menonton DVD. Justeru, ketika memilih untuk menonton sekuel yang kedua ini, saya mata berharap yang ianya tidak banyak berkait dengan sekuel awal. Boleh LOST lagi sekali saya.....

Agaknya nasib saya cukup baik....walaupun tidak menonton sekuel yang pertama tetapi saya boleh mengikuti filem ini dengan baik. Saya faham jalan ceritanya! Filem ini walaupun digarap dalam bentuk komedi santai, tetapi sebenarnya ia banyak memberi maklumat berkaitan sejarah silam. Fakta sejarah disampaikan dalam bentuk yang cukup ringkas, menarik dan tidak membosankan. Terfikir juga saya, jika Kementerian Pelajaran Malaysia mengaplikasikan lakonan sebegini dalam pengajaran subjek Sejarah di sekolah, pasti murid-murid kita akan lebih berminat dalam subjek tersebut dan lebih menghargai sejarah! Terkenang pula saya pada zaman persekolahan.....selalu tertidur ketika kelas Sejarah sedang berjalan.....kalaulah filem ini mempunyai fakta-fakta sejarah untuk SPM, pasti saya sudah lulus dengan cemerlang!

Muzium...satu bangunan yang bagi saya agak mistik suasananya...suram, penuh misteri, sunyi dan kalaulah saya ditinggalkan di muzium pada waktu malam seorang diri...boleh demam seminggu agaknya! Tetapi, dalam filem ini, muzium digambarkan sebagai satu tempat yang menjadi tumpuan ramai....dengan susun atur bahan pameran yang kreatif dan suasana muzium yang ceria....tiba-tiba terasa ingin melawat muzium tersebut.....

Watak-watak bahan pameran yang menjelma hidup pada waktu malam hingga subuh sebenarnya merupakan imaginasi yang ada dalam minda kebanyakan kanak-kanak menjadikan filem ini sesuai ditonton oleh semua peringkat usia (tetapi, anak perempuan saya tertidur...kepenatan barangkali kerana berlari-larian di KFC sebelum itu). Peperangan antara dua puak yang satunya diketuai oleh Firaun Kahmunrah sungguh menarik dan mencuit hati. Ketika perang sedang rancak, muncul hero penyelamat.....Abraham Lincoln (well, lihatlah pula, ia filem dari mana....).

Keseluruhannya, saya suka filem ini kerana banyak kostum yang menarik, watak-watak yang pelbagai (memang jenis filem yang saya suka) dan paling menarik.....fakta sejarahnya disampaikan dalam bentuk cukup santai sehingga melekat dalam minda penonton (saya terutamanya).

Napoleon Bonaparte yang pendek, The Honest Abraham Lincoln (kerana suka cakap terus-terang), piramid sempurna kerana nilai pi, juruterbang wanita pertama yang menyeberangi lautan Atlantik adalah Amelia Eakhart, monyet pertama ke angkasa lepas dinamakan Abe (mungkin sempena nama timangan Abraham Lincoln), Albert Einstein yang mempunyai tabiat mengangguk-anggukan kepalanya (benarkah?) adalah antara fakta yang menarik yang saya baru ketahui hari ini!

Antara kata-kata yang menarik dalam filem ini....
  • Negara yang berpecah tidak akan berkeadaan baik (Abraham Lincoln)
  • Kunci kepada kegembiraan ialah melakukan apa yang kita suka bersama dengan orang yang kita suka (Larry Daley)